LIONEL Messi gagal bantu Inter Miami apabila dibelasah Al-Nassr. FOTO Agensi
LIONEL Messi gagal bantu Inter Miami apabila dibelasah Al-Nassr. FOTO Agensi
AFP

Riyadh: Meskipun turun tanpa khidmat Cristiano Ronaldo, Al-Nassr nyata terlalu ampuh buat Inter Miami apabila dibelasah 6-0 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Riyadh.

Lionel Messi yang dimasukkan di lewat permainan tidak mampu membantu Inter Miami bangkit daripada kekalahan itu ketika Ronaldo diketepikan susulan kecederaan betis.

Ketiadaan Ronaldo tidak menjejaskan Al-Nassr apabila penyerang Brazil, Talisca meledak hatrik dan kelab Arab Saudi itu membolosi gawang Miami tiga kali dalam tempoh 12 minit pertama.

Otavio membuka jaringan untuk Al-Nassr, diikuti jaringan Talisca sebelum Aymeric Laporte menewaskan penjaga gol Miami, Drake Callender dengan sepakan percuma dari kawasan sendiri.

Talisca meledak gol keduanya menerusi sepakan penalti di babak kedua dan Mohammed Maran menanduk masuk gol kelima Al-Nassr.

Talisca melengkapkan hatriknya diikuti gaya Ronaldo meraikan jaringan, sebelum Messi masuk pada tujuh minit terakhir.

Untuk rekod, kali terakhir Ronaldo dan Messi bertembung di atas padang ialah ketika aksi persahabatan antara pilihan Arab Saudi menentang Paris Saint-Germain pada Januari tahun lalu.

Ronaldo meledak dua gol manakala Messi satu gol, ketika pilihan Arab Saudi menewaskan juara Perancis itu 5-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 11:29 AM