KAMARUDIN berkata serangan pemain dan pegawai pasukan Sarawak United ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC boleh berdepan hukuman penggantungan. FOTO Ihsan TV3
KAMARUDIN berkata serangan pemain dan pegawai pasukan Sarawak United ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC boleh berdepan hukuman penggantungan. FOTO Ihsan TV3
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hukuman penggantungan adalah asas biasa buat mana-mana pemain yang didapati menyentuh, menolak mahupun menumbuk pengadil seperti mana yang terdapat dalam peraturan pertandingan bola sepak di seluruh dunia.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga sering menggunakan hukuman sama buat pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang didapati bersalah melakukan tindakan agresif itu.

Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah, serangan pemain dan pegawai pasukan Sarawak United ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC dalam Liga Perdana di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Jumaat lalu boleh berdepan hukuman penggantungan.

Begitupun, tempoh penggantungan itu tertakluk kepada peraturan dan hasil siasatan yang dibuat dengan melihat sejauh mana seriusnya insiden berkenaan.

"Saya ada lihat insiden itu di televisyen dan daripada tindakan pemain Sarawak United itu, pemain tak boleh bertindak agresif seperti itu.

"Ia salah sama sekali, di mana tindakan pemain berkenaan amat agresif. Bentuk hukuman kepada tindakan itu biasanya boleh kena gantung daripada bermain.

"Mungkin tindakan pemain dan pegawai itu kerana tak puas hati dengan keputusan pengadil, namun dalam peraturan dah jelas yang pengadil tidak boleh disentuh. Tapi apa yang dibuat mereka adalah menolak dan cuba nak bertindak agresif," katanya kepada Arena Metro.

Dalam aksi itu, pemain dan pegawai Sarawak United bertindak 'ala mafia' apabila menyerang pengadil selepas berakhirnya perlawanan yang berkesudahan Negeri Sembilan menang 1-0.

Malah menerusi laporan Arena Metro semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berjanji akan menyiasat dengan adil kepada semua pihak termasuk pengadil, pegawai pasukan dan pemain dalam membuat keputusan berhubung insiden itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden FAM mengakui akan menilai secara terperinci mengenai laporan daripada penilai pengadil bagi memastikan tindakan atau hukuman yang adil dapat diputuskan.

Jelas Kamarudin lagi, hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran berguna buat pemain lain agar tidak mengulangi sekali gus menghormati institusi pengadilan.

"Saya setuju hukuman berat perlu dikenakan. Kita tidak mahu ada lagi pemain ulang benda sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 10:18 PM