Kamarudin Abdullah.
Kamarudin Abdullah.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya pelik dan hairan dengan keputusan itu.'

Demikian persoalan terlintas di fikiran bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah terhadap kewajaran penggantungan kepada pemain yang melakukan simulasi ketika perlawanan berbanding pemain bertindak ganas terhadap pengadil yang hanya diberikan amaran lisan.

Kata Kamarudin, berdasarkan pengalaman sebelum ini, menyentuh atau menolak pengadil adalah kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan dan ia perlu digantung daripada bermain.

Malah katanya, jika perkara itu dibawa ke Mahkamah Sukan sekalipun, sudah pasti hukuman berat diberikan kepada pemain yang bertindak ganas terhadap pengadil.

"Kalau pergi Mahkamah Sukan dan kalau tolak pengadil atau sentuh saja pengadil, ia kesalahan paling besar. Takkan ada kompromi dan pemain memang tak boleh sentuh pun sebenarnya.

"Contoh lain, kalau pemain cakap kata kesat macam 'f*k y*' kepada pengadil tanpa menyentuh pun, ia tetap tak boleh dan kena hukuman terus. Tetapi simulasi pula diberikan hukuman berat, pada saya ia keputusan tak munasabah dan keputusan tak sepatutnya," katanya.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu memutuskan menggantung pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan pemain Selangor FC 2, Hein Htet Aung daripada beraksi untuk dua dan satu perlawanan.

Khairil Anuar didakwa melakukan simulasi ketika perlawanan manakala Htet Aung pula meraikan jaringan dengan menggunakan simbol berbaur politik dengan kedua-dua kes dikatakan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan tidak bersemangat sukan.

Bagaimanapun, pemain yang bertindak ganas dengan menolak pengadil iaitu Jack Hindle dari Kelantan FC dan Alex Dos Santos Goncalves (Melaka United) bernasib baik apabila hanya diberi amaran keras oleh FAM.

Kedua-dua pemain itu didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan tidak bersemangat sukan dalam aksi Liga Perdana dan Liga Super sebelum ini.

Jelasnya lagi, seharusnya kes Natxo Insa yang turut didakwa menolak pengadil harus diputuskan sekali dan tidak perlu menundanya.

"Kalau ikut amalan sebelum ini, dalam Jawatankuasa Tatatertib FAM kita boleh bicarakan terus kes penting macam menolak pengadil atau pergaduhan tanpa menunggu lama. Contoh dulu ada kes bergaduh di Kelantan, kita tak tunggu lama di mana kita terus bicarakan.

"Tapi kalau kes setakat kumpul kad kuning dan kad merah, memang boleh tunggu dulu saja. Macam kes Natxo ini patutnya kena cepat kerana ia mendapat liputan meluas oleh peminat dan kredibiliti jawatankuasa terbabit diperhatikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 7:50 AM