DEVAN akur dengan keputusan kelab tidak tambah pemain import. FOTO MOHD AMIL JALIL
DEVAN akur dengan keputusan kelab tidak tambah pemain import. FOTO MOHD AMIL JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Negeri Sembilan Fc (NSFC) K Devan akur dengan keputusan kelab itu yang tidak membuat penambahan pemain import pada sesi perpindahan kedua pemain Liga Malaysia, bulan depan.

Beliau sedar keputusan dibuat pengurusan kelab berkenaan adalah satu cabaran baginya dan pemain dalam meneruskan perjuangan pasukan bagi menghadapi baki kempen Liga Super dan Piala Malaysia musim ini, yang akan berakhir menjelang Disember depan.

"Saya akur dengan keputusan kelab tidak tambah pemain import. Memang dari segi berlatih dan bermain, tiada isu tapi jika kita fokus kepada keputusan perlawanan, tentunya tidak boleh bandingkan dengan pasukan lain yang lengkap (kuota pemain import).

"Pasukan seperti PDRM FC, Kelantan United FC, Kuching City Fc, kesemuanya lengkap (kuota import) apa lagi jika kita hendak bandingkan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC, Terengganu FC, Sri Pahang Fc dan lain-lain pasukan.

"Jadi, kita kena terima hakikat menggunakan pemain yang sedia ada bagi meneruskan perjuangan sehingga ke penghujung saingan musim ini," katanya kepada media, selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dalam aksi itu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1, dengan Penang terlebih dulu menjaringkan gol menerusi tandukan Glovane Da Silva pada minit ke-48 disusuli jaringan penyamaan Negeri Sembilan oleh Tommy Mawat Bada, pada minit ke-89.

Mengulas lanjut, Devan berkata, skuad Hobin Jang Hobin akan kekal sebagai pasukan 'underdog' bagi mengharungi baki saingan musim ini.

"Lebih baik kita bertindak sebagai 'underdog' kerana pasukan yang tidak lengkap mana mungkin boleh bergelar pencabar utama," kata pengendali kelahiran Bahau itu.

Devan menjelaskan bahawa pertama kali bagi beliau membawa pasukan dalam keadaan 'tidak sempurna' dari segi pemain import.

Justeru itu, beliau berharap penyokong pasukan itu memahami keadaan sebenar dihadapi pasukan dan perlu bersabar untuk menyaksikan keputusan yang baik dapat dicapai.

"Kesungguhan pemain terbukti ketika persembahan, kualiti mungkin sukar untuk kita, apa pun kita akan buat yang terbaik, kita baru kalah empat kali, tiga di tempat lawan, ada pasukan yang lengkap kalah lebih enam kali.

"Kita harap penyokong faham dan kita perlukan sokongan mereka," katanya yang membawa Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana musim 2021 dan menduduki tempat keempat Liga Super musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 10:33 AM