NASRULLAH Haniff (kiri) antara tonggak penting dalam membantu Negeri Sembilan FC berada di kedudukan ketiga carta Liga Super ketika ini. FOTO ihsan NSFC
NASRULLAH Haniff (kiri) antara tonggak penting dalam membantu Negeri Sembilan FC berada di kedudukan ketiga carta Liga Super ketika ini. FOTO ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dilihat berada pada landasan tepat untuk membuktikan kehebatan luar biasa, bukan sekadar mencabar kedudukan Sabah FC, malah berpeluang menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua, musim ini.

Terbaharu, skuad bimbingan K Devan itu melakar kemenangan kesembilan daripada 16 perlawanan yang mereka lalui setakat ini, selepas menewaskan Petaling Jaya (PJ) City FC semalam, sekali gus kemenangan keempat berturut-turut yang mereka catatkan.

Penolong ketua pasukan itu, Nasrullah Haniff Johan berkata, pihaknya tidak menafikan pencapaian skuad Hobin Jang Hobin dalam mengharungi cabaran Liga Super setakat ini adalah di luar jangkaan.

"Kami tampil dalam liga utama ini hanya sebagai pasukan yang muncul juara Liga Perdana musim lalu dan dianggap pendatang baharu berbanding dengan pencabar lain yang memiliki reputasi besar.

"Pasukan kami juga tidak memiliki ramai pemain yang mempunyai nama besar seperti pencabar-pencabar lain kecuali sebahagian daripada mereka yang memiliki pengalaman luas di pentas Liga Malaysia (Liga M).

"Tapi, kami hadir dengan semangat dan keinginan tinggi serta sokongan padu penyokong setia untuk mencipta sesuatu yang berharga dan bagi menjulang semula nama pasukan selepas sekian lama tidak mengecapi kejayaan," katanya di sini, hari ini.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu berkata, pasukannya yang berada di tangga ketiga carta dengan mengumpul 32 mata dan dibezakan dua mata dengan Sabah yang berada di tangga kedua dengan 34 mata, perlu mengekalkan prestasi terbaik dalam baki enam perlawanan.

Menurut Nasrullah Haniff, Negeri Sembilan perlu mencapai kemenangan dalam baki perlawanan itu untuk meningkatkan lagi kedudukan dalam carta dan seterusnya mencabar kedudukan Sabah serta Johor Darul Ta`zim (JDT) yang mengungguli liga ketika ini.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata, bagaimanapun untuk mencapai tahap itu bukan suatu tugas yang mudah kerana selepas ini Negeri Sembilan bakal menghadapi perlawanan getir berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC, JDT, Kedah Darul Aman FC, Melaka United, Sri Pahang Fc dan Sarawak United.

"Hakikatnya perjalanan masih jauh dan kami perlu terus fokus serta konsisten dalam persembahan dengan mematuhi arahan dan perancangan jurulatih.

"Ini penting supaya kami dapat membantu pasukan mendapatkan kemenangan dan mengumpul sebanyak mungkin mata agar kedudukan pasukan dalam carta dapat ditingkatkan lagi," katanya.

Katanya, secara peribadi, dia sendiri tidak menyangka pasukan mampu mencapai tahap sekarang dan dengan peluang yang terbuka di hadapan mata, semua pemain perlu terus gandakan usaha bagi melangkah lebih jauh.

"Kami perlu rebut peluang yang ada untuk membawa pasukan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi termasuk kemungkinan beraksi dalam kejohanan di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada masa hadapan," kata pemain kelahiran Seremban itu.

Negeri Sembilan pernah memenangi beberapa kejuaraan dalam Liga M termasuk Piala Malaysia pada 2009 dan 2011, namun sejak 2014, pasukan itu bergelut mencapai tahap prestasi dalam Liga Perdana sehingga memenangi semula kejuaraan pada musim lalu hasil sentuhan Devan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 4:30 PM