Devan (tengah) mengendalikan latihan persiapan terakhir menjelang pertembungan dengan Kuching City FC, esok. - Foto FB NSFC.
Devan (tengah) mengendalikan latihan persiapan terakhir menjelang pertembungan dengan Kuching City FC, esok. - Foto FB NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) dijangka mempertaruhkan sepenuhnya pemain tempatan pada aksi terakhir Liga Super musim ini bertemu Kuching City FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Ketua jurulatih NSFC K Devan mengesahkan situasi itu namun enggan mengulas lanjut dipercayai kemungkinan ada kaitan dengan aksi terakhir liga dan persiapan menghadapi saingan musim depan.

."Kita (NSFC) tidak dapat menurunkan kesebelasan seperti biasa pada perlawanan menentang Kuching City kerana pemain import tidak diturunkan pada pertembungan itu, malam esok.

"Kita hanya akan mempertaruhkan sepenuhnya tenaga tempatan, namun persiapan pasukan berjalan lancar dan situasi itu tidak boleh dijadikan alasan oleh pemain untuk tidak beraksi cemerlang.

"Saya mengharapkan pemain dapat tingkatkan prestasi masing-masing dan gunakan peluang serta kelebihan beraksi di laman sendiri untuk pastikan kemenangan milik Negeri Sembilan," katanya.

Pengendali berpengalaman itu berkata, selepas menang dalam dua aksi sebelum ini iaitu ke atas PDRM FC dan Kelantan United FC, skuad Hobin Jang Hobin perlu meneruskan momentum berkenaan bagi menutup tirai musim 2023 dengan rekod baik.

Justeru katanya, pemain perlu memperagakan persembahan terbaik sebagai kayu pengukur untuk mereka membuat persiapan dan meneruskan karier dalam Liga Malaysia musim depan.

"Seperti saya tegaskan bahawa pasukan perlu mengekalkan rentak kemenangan pada aksi terakhir liga ini kerana ia bukan saja memastikan kedudukan pasukan di tangga kesembilan liga kekal, malah impak juga kepada pemain itu sendiri dalam persiapan menghadapi kempen musim depan," kata Devan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 2:51 PM