DEVAN menegaskan kedudukannya bagi musim depan belum pasti. FOTO MOHD AMIN JALIL
DEVAN menegaskan kedudukannya bagi musim depan belum pasti. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan sekali lagi menepis tanggapan pelbagai pihak bahawa beliau akan meninggalkan pasukan itu musim depan.

Pengendali berpengalaman yang membimbing Negeri Sembilan selama tiga musim sejak 2021 itu, menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa perancangan ketika ini berkaitan kedudukannya selaku ketua jurulatih skuad Hobin Jang Hobin bagi musim depan.

"Tunggu dan lihat. Saya ada kontrak dengan pasukan NSFC dan perlu habiskan dulu tugas dan tanggungjawab kepada pasukan kerana ada lagi dua baki perlawanan liga musim ini.

"Selepas berakhir dua perlawanan itu nanti, saya boleh pergi bercuti sama ada cuti panjang atau pendek.

"Namun, setakat ini, saya tidak mempunyai apa-apa perancangan, tambahan pula saingan Liga Malaysia musim depan bermula lewat mungkin pada April 2024, jadi ada banyak masa lagi," kata Devan selepas aksi Liga Super antara Negeri Sembilan dengan PDRM FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pada pertembungan itu, skuad Hobin Jang Hobin melakar kemenangan ke atas PDRM, 2-0, hasil jaringan pemain tengah dan penyerang gantian, R Barathkumar dan A Selvan, masing-masing pada minit ke-47 dan kr-78.

Sebelum ini, timbul desas desus dalam kalangan peminat pasukan itu bahawa Devan mungkin tidak akan membimbing Negeri Sembilan musim depan apabila dikatakan beliau bakal melatih pasukan Penang FC.

Negeri Sembilan dikatakan bakal mendapat ketua jurulatih yang baharu iaitu bekas jurulatih Melaka United, Datuk Zainal Abidin Hassan.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan dan kejayaan pasukannya itu, Devan akui

gembira dengan persembahan dipamerkan anak buahnya.

Baginya, kemenangan yang dicipta begitu bermakna selepas pasukannya tewas dalam tujuh perlawanan sebelum ini termasuk dua daripadanya dalam aksi Piala Malaysia.

"Tahniah dan syabas kepada pemain NSFC atas kemenangan ini selepas kita tewas dalam lima perlawanan liga dan dua dalam aksi Piala Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 5:22 PM