PRESIDEN MFL, Datuk Ab Ghani Hassan,
PRESIDEN MFL, Datuk Ab Ghani Hassan,
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peluang untuk mana-mana pasukan terselamat daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan tidak kesampaian apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan format 12 pasukan akan kekal seperti biasa.

Jelas Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, dua pasukan tercorot di Liga Super akan diturunkan pangkat ke Liga Perdana tanpa mengekalkan mana-mana pasukan.

Manakala, dua pasukan iaitu juara dan naib juara Liga Perdana akan dipromosikan ke Liga Super bagi mencukupkan 12 pasukan di saingan divisyen satu Liga Malaysia itu.

"Format Liga Super 2021 akan kekal di mana sebanyak 12 pasukan dalam satu pertandingan dan dua pasukan tercorot akan tersingkir ke saingan Liga Perdana pada tahun 2022.

"Sementara juara dan naib juara Liga Perdana musim 2021 pula akan bermain dalam kempen Liga Super 2022 seperti mana yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia edisi 2021 bagi format Liga Malaysia," katanya.

Menerusi pengesahan itu, ia sekaligus menolak dakwaan kemungkinan berlakunya penambahan pasukan di Liga Super kepada 16 pasukan pada musim depan.

Semalam, tular di media sosial mengenai dakwaan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kemungkinan Perak FC yang berisiko untuk turun ke Liga Perdana dapat diselamatkan selepas MFL dikatakan bersedia untuk menambah bilangan pasukan bertanding.

Dalam video itu, Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan mengakui ada melakukan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam serta Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai perkara terbabit baru-baru ini.

Kata mantan Menteri Besar Perak itu lagi, penambahan pasukan itu didorong ekoran saranan Fifa yang mahu saingan liga domestik ditambah penyertaan kepada 16 pasukan dalam semusim.

Bagaimanapun, FAM selepas itu menafikan terdapatnya sebarang perbincangan secara rasmi atau tidak rasmi sambil menegaskan, hak untuk menambah pasukan hanya di tangan ahli Lembaga Pengarah MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 1:53 PM