Firdaus Hashim


TEKA teki saingan Liga Malaysia (Liga-M) akhirnya terjawab apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan kempen musim ini akan diteruskan pada September depan.

Malah, format pertandingan turut dirombak dengan aksi Liga Super dan Liga Perdana dilangsungkan secara satu pusingan bermula 1-27 September sebelum ia disambung dengan aksi Piala Malaysia dari Oktober hingga November.

Bagaimanapun, saingan Piala Malaysia hanya menggunakan format kalah mati berbanding peringkat kumpulan sebelum ini manakala aksi Piala FA pula terpaksa dimansuhkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan berkenaan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah berhubung perancangan baharu berpandukan kepada maklum balas Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga pada 19 April lalu.

Jelas Ghani, keputusan untuk meneruskan aksi pada September ini dibuat selepas permohonan untuk melangsungkan perlawanan liga pada Ogos ditolak oleh kerajaan.

"Semua pasukan akan memulakan sesi latihan pada Ogos mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga-M yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Setiap perlawanan akan diadakan mengikut SOP Perlawanan Tanpa Penonton seperti ditetapkan MKN dan KKM disebabkan penularan wabak Covid-19.

"Tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan liga jika saingan bermula pada September. Saingan Liga-M akan dibatalkan jika MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September," katanya.

Berdasarkan perancangan baharu kalendar liga tempatan itu, MFL menetapkan juara Liga Super kekal untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 manakala juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun jelas Ghani, sekiranya Covid-19 masih serius, kemungkinan semua pertandingan domestik terpaksa dibatalkan musim ini.

Tegasnya, pelan perancangan ini akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak ini.

"Kita akan memantau situasi semasa isu wabak Covid-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga-M berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

"Pihak MFL juga akan menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan Kerajaan andai liga musim ini dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu.

"Perancangan liga dan SOP ini juga sudah MFL bentangkan dalam pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan pada 23 April lalu dan ini membuktikan bahawa MFL sentiasa bersedia berbincang dan mengikuti segala saranan serta arahan daripada MKN, KKM dan KBS sebelum membuat sebarang keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 3:11 PM