Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan pihaknya ada mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkenaan penambahan pasukan di Liga Super musim depan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, beliau tidak pernah membincangkan secara rasmi ataupun tidak rasmi berkenaan hasrat untuk menambah bilangan pasukan daripada 12 kepada 16 pasukan di Liga Super.

"Merujuk kepada satu video yang tular di media sosial hari ini, FAM ingin menyatakan bahawa perkara itu tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh Persatuan ini, sama ada menerusi Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin) atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain," kata Stuart menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu.

Ujarnya lagi, sebarang bentuk perubahan dalam sistem pertandingan profesional bola sepak tempatan hanya boleh dibuat oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi keputusan sebulat suara di dalam Mesyuarat ahli Lembaga Pengarah.

Jelasnya, FAM tidak boleh campur tangan dalam pentadbiran dan pengurusan MFL termasuk soal bilangan pasukan yang bertanding.

"FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Perdana serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa MFL dan ahli-ahli lembaga pengarahnya," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan Faizal Azumu kemungkinan Perak FC yang berisiko untuk turun ke Liga Perdana musim depan diselamatkan susulan hasrat MFL untuk menambah bilangan pasukan bertanding.

Dalam video itu, Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan mengakui ada melakukan perbincangan bersama Stuart serta Hamidin mengenai perkara terbabit baru-baru ini.

Kata mantan Menteri Besar Perak itu lagi, penambahan pasukan itu adalah didorong oleh saranan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) yang mahu saingan liga domestik ditambah penyertaan kepada 16 pasukan dalam semusim.

Lantas, reaksi Faizal Azumu itu mendapat kecaman penyokong bola sepak tempatan yang mengaitkan Menteri Sukan terbabit cuma menggunakan kedudukannya untuk menyelamatkan pasukan Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 9:16 PM