EDIN Dzeko (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
EDIN Dzeko (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO EPA
AFP

Milan: Inter Milan bangkit daripada kempen mengecewakan di Liga Juara-Juara apabila membelasah Bologna 6-1 sekali gus menyaksikan juara bertahan itu menduduki tangga teratas Serie A.

Skuad bimbingan Simone Inzaghi tewas menerusi gol saat akhir ketika bertemu Real Madrid pada saingan Liga Juara-Juara namun tidak melakukan kesilapan sama kali ini di San Siro.

Inter kini mempunyai kelebihan satu mata berbanding Roma, AC Milan, Napoli dan Fiorentina selepas Lautaro Martinez, Milan Skriniar, Nicolo Barella dan Matias Vecino masing-masing meledak satu gol manakala Edin Dzeko menambah dua gol.

Bologna menduduki tangga kelapan dengan tujuh mata selepas tewas kali pertama musim ini.

"Saya berasa bimbang mengenai perlawanan ini selepas pertemuan dengan Real," kata Inzaghi kepada DAZN.

"Tetapi pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik mereka."

Denzel Dumfries memberi impak pada penampilan pertamanya dalam kesebelasan Inter sejak berhijrah dari PSV Eindhoven bulan lalu.

"Saya sangat gembira. Saya rasa ia adalah perlawanan yang terbaik untuk kami selepas tewas kepada Real Madrid dan berjaya bangkit semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 9:36 AM