AKSI pemain NSFC (jersi kuning) ketika menewaskan Kelab Bolasepak Universiti Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan, semalam. FOTO NSFC
AKSI pemain NSFC (jersi kuning) ketika menewaskan Kelab Bolasepak Universiti Malaysia 2-0 pada perlawanan persahabatan, semalam. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Aziz belum memuktamadkan kesebelasan utama menjelang pertembungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, 18 Mei ini.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata, walaupun skuad bimbingannya sudah beraksi dalam tujuh perlawanan persahabatan pramusim termasuk empat dengan pasukan Liga Super, beliau masih mencari barisan kesebelasan utama terbaik.

"Saya masih mencari barisan kesebelasan utama terbaik bagi menghadapi JDT dan memerlukan sedikit masa untuk terus menilai prestasi setiap pemain dalam aksi pramusim.

"Bagaimanapun dari segi peningkatan setakat ini, kita nampak pasukan berada pada landasan baik menjelang cabaran liga bermula 18 Mei nanti," kata Azzmi.

Beliau berpuas hati dengan komitmen anak buahnya yang menunjukkan peningkatan ketika menang 2-0 pada aksi persahabatan dengan Kelab Bolasepak Universiti Malaysia (Liga A1) di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 7:10 PM