Milan: Kapten Inter Milan, Andrea Ranocchia meminta kelab gergasi Serie A itu supaya menggembirakan penyokong dengan mendominasi pertembungan jiran setempat menentang AC Milan awal pagi Isnin ini manakala Lazio berkunjung ke pendahulu Juventus dengan mengintai kejutan.

Ketika kedua-dua kelab Milan mengalami musim sukar sekali lagi dalam liga utama Itali, pertembungan jiran setempat kedua musim ini penting bagi melayakkan diri ke Liga Europa.

Juara Eropah tujuh kali, Milan menghuni tangga kesembilan, 28 mata di belakang pendahulu Juventus dan tujuh di belakang Fiorentina bagi tempat kelayakan ke Liga Europa. Inter di tangga ke-10, satu mata lagi di belakang dengan baki lapan perlawanan musim ini.

Walaupun jurulatih Inter, Roberto Mancini mengakui mereka mungkin lebih berasa tertekan di San Siro, Ranocchia menyokong saranan pengurusnya supaya Nerazzurri mengamalkan mentaliti menang bagi perlawanan awal pagi Isnin ini.

“Anda bermain pada perlawanan jiran setempat dengan tujuan untuk menang,” kata Ranocchia. “Kami perlu menceriakan peminat selepas satu musim sukar. Pertembungan jiran setempat ini peluang terbaik menggembirakan mereka.”

Mancini, yang kembali kali kedua di Inter tepat sebelum pertembungan jiran setempat Milan awal musim ini, yang berakhir 1-1 November lalu, kini amat tertekan begitu juga rakan sejawatnya di Milan, Filippo Inzaghi.

Pertahanan Milan, Ignazio Abate mengakui ‘Derby della Madonnina’ sudah hilang sengatnya namun menegaskan motivasi mereka untuk menang tidak berubah.

“Jelas ia tidak seperti pertembungan jiran setempat sebelum ini, tapi minat terhadapnya tetap sama,” kata Abate. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM