RONALDO (kanan) hanya beraksi di separuh masa pertama. FOTO AFP
RONALDO (kanan) hanya beraksi di separuh masa pertama. FOTO AFP
AFP

Osaka: Cristiano Ronaldo digantikan pada separuh masa ketika Al Nassr seri 1-1 dengan finalis Liga Juara-Juara Inter Milan dalam perlawanan kedua jelajah pramusim mereka di Jepun hari ini.

Abdulrahman Ghareeb membuka jaringan untuk Al Nassr pada pertengahan separuh masa pertama, sebelum Davide Frattesi menyamakan kedudukan untuk Inter seminit sebelum rehat.

Bintang Portugal, Ronaldo menyertai Al Nassr dari Manchester United pada Januari, detik yang membawa bola sepak Arab Saudi mendapat perhatian dunia.

Alex Telles mengikut jejak langkah Ronaldo dengan menyertai Al Nassr baru-baru ini dan membuat penampilan sulung di Osaka.

Pertahanan kiri Brazil itu mencipta peluang pada minit ke-20 namun tandukan rakan senegara, Talisca diselamatkan penjaga gol Inter, Filip Stankovic.

Ghareb menjaringkan gol pada minit ke-23, selepas menerima hantaran daripada Talisca.

Lautaro Martinez dan Joaquin Correa kedua-duanya melepaskan peluang untuk menyamakan kedudukan buat Inter, tetapi Frattesi tidak melakukan kesilapan dengan menanduk masuk hantaran silang Denzel Dumfries pada minit ke-44.

Ronaldo adalah salah seorang daripada pemain yang ditukarkan ketika pertukaran beramai-ramai yang dilakukan pengurus Al Nassr, Luis Castro dan rakan sejawatannya di Inter, Simone Inzaghi.

Martinez terus terlepas beberapa peluang terbaik dalam separuh kedua tetapi kedua-dua pasukan tidak dapat memecahkan kebuntuan, meninggalkan Al Nassr dengan keputusan seri kedua minggu ini selepas terikat tanpa jaringan menentang Paris Saint-Germain Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 10:05 PM