THURAM meraikan kemenangan bersama  rakan sepasukan selepas menewaskan AC Milan. FOTO Reuters
THURAM meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan AC Milan. FOTO Reuters
Reuters

Milan: Inter Milan mengesahkan gelaran Serie A ke-20 mereka selepas menang 2-1 di AC Milan dalam aksi panas, awal pagi tadi.

Jaringan Francesco Acerbi dan Marcus Thuram pada setiap babak sudah cukup mengesahkan kemenangan skuad Simone Inzaghi manakala Fikayo Tomori menjaringkan gol lewat untuk mengurangkan defisit.

Perlawanan itu turut menyaksikan tiga kad merah dilayang pada masa kecederaan dengan Milan beraksi sembilan pemain manakala Theo Hernandez dan Davide Calabria juga diarah keluar padang bersama pemain Inter Denzel Dumfries.

Inter yang hanya tewas sekali dalam aksi liga musim ini berkelebihan 17 mata di puncak Serie A dan tidak dapat dikejar lagi pasukan di tangga kedua Milan dengan berbaki lima perlawanan.

Bagi Inzaghi, ia gelaran Serie A pertama dalam karier pengurusannya dan trofi keenam bersama Inter.

"Terdapat banyak protagonis dalam kejayaan ini, pertama dan pastinya pemain tetapi juga pengarah dan pengerusi Steven Zhang yang memberi apa sahaja diperlukan untuk kemenangan ini," kata Inzaghi kepada DAZN.

"Ia situasi sensasi, kami melakukan sesuatu menakjubkan dan kejayaan ini wajar dikongsi dengan seramai mungkin yang boleh."

San Siro dipenuhi penyokong kedua-dua kelab dengan penyokong Inter menjulang sepanduk tertera: 'Sasaran kami, malam derita anda."

Babak awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling bertolakan dan berlaku perang mulut susulan kekasaran lewat ke atas pemain Inter Nicolo Barella.

Bagaimanapun, perlawanan diteruskan beberapa minit kemudian tanpa sebarang kad daripada pengadil.

Selepas 18 minit, Inter menggamatkan penyokong mereka selepas sepakan sudut singgah terlebih dahulu di kepala Benjamin Pavard yang kemudiannya ditanduk masuk Acerbi untuk gol pertama pasukannya.

Empat minit selepas rehat, Thuram menjaringkan gol kedua menerusi rembatan dari garisan kotak penalti tepat menuju sebelah kanan gawang Milan.

Milan yang terus mengasak akhirnya mendapatkan gol 10 minit sebelum tamat permainan hasil tandukan Fikayo Tomori selepas tampanan penjaga gol Inter Yann Sommer terkena tiang terlebih dahulu.

Dalam masa kecederaan, kekecohan tercetus selepas berlaku pertelagahan antara pemain kedua-dua pasukan menyebabkan Dumfries dan Hernandez dilayangkan kad merah.

Beberapa minit kemudian, satu lagi percakaran berlaku menyaksikan pemain Milan Calabria dibuang padang selepas mengasari Davide Frattesi.

"Perlawanan menarik dan sengit tapi tak bagusnya, ia tegang dan panas pada lima minit terakhir. Kami beraksi dengan baik dan sepatutnya mendapat satu lagi gol pada babak pertama tetapi kami sangat gembira," kata Inzaghi.

Sebaik pengadil menamatkan perlawanan, pemain Inter dan staf mereka meraikan kejayaan di atas padang dan disambung penyokong mereka di luar stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 7:39 AM