TIM Heubach (kanan) sudah cergas sepenuhnya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
TIM Heubach (kanan) sudah cergas sepenuhnya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC bakal tampil lebih ampuh khususnya di benteng pertahanan menjelang aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Ia selepas dua tonggak import yang beraksi di bahagian pertahanan tengah, Tim Heubach dari Jerman serta pemain kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin sudah kembali menjalani latihan bersama skuad Red Giants.

Pengendali pasukan, Karsten Neitzel meluahkan beberapa pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini akan kembali memperkuatkan pasukan.

Malah, beliau juga kini memiliki banyak pilihan untuk menurunkan barisan terbaik.

"Lepas ini pemain yang cedera akan kembali bersama pasukan. Ini akan menambah kualiti dan pilihan dalam pasukan apabila kita menghadapi perlawanan setiap minggu.

"Apa yang penting, pemain perlu beri sepenuh komitmen dan beraksi sebagai satu unit dalam setiap perlawanan," katanya.

Sebelum ini, Safuwan dibelenggu kecederaan 'concussion' di bahagian kepala yang dialami pada Mei lalu sementara Heubach pula mengalami kecederaan darah beku di pangkal paha.

Selepas diketepikan hampir tiga bulan, kini kedua-duanya sudah kembali menjalani latihan minggu ini bagi memperkukuhkan benteng pasukan.

Selama ketiadaan dua tonggak tinggi lampai itu, Neitzel mempertaruhkan gandingan pemain tempatan iaitu Ashmawi Md Yakin dan Sharul Nazeem Zulpakar yang dilihat berjaya mengisi kekosongan tonggak import berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:11 PM