AKSI Ifedayo (dua kanan) semalam. FOTO Selangor FC
AKSI Ifedayo (dua kanan) semalam. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel memberi pujian di atas prestasi mantap dipamerkan penyerang importnya, Ifedayo Olusegun yang terus 'mengganas' apabila meledak satu daripada dua gol ketika membenam UiTM FC 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, semalam.

Malah, gol dari Ifedayo itu juga adalah yang keempat daripada tiga aksi Liga Super setakat ini bagi membolehkan dirinya terus memberi saingan kepada ayam tambatan Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva apabila masing-masing menghimpun 17 gol ketika ini.

"Dia (Ifedayo) semakin menunjukkan keyakinan di depan gol, malah dia bermain secara berpasukan dan ia akan membantunya untuk mencipta ruang dan gerakan buat dirinya ataupun rakan sepasukan yang lain.

"Kalau dia terus konsisten sebegini, tak mustahil dia akan menjaringkan lebih banyak gol, bukan saja untuk dirinya tetapi apa yang lebih penting, ia untuk pasukan," katanya pada sidang media aksi itu.

Dalam aksi yang berlangsung sengit itu, skuad Red Giants berjaya mendahului seawal minit ke-24 menerusi tolakan mudah tonggak pertahanan tengah, Sharul Nazeem Zulpakar yang bijak menyambut sepakan percuma Oliver Buff.

Ifedayo yang juga pemenang kasut emas Liga Super musim lalu menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-57 buat memastikan tiga mata penuh menjadi milik Selangor FC.

"Kami sudah menjaringkan 30 gol secara keseluruhan dalam kempen liga dan itu bukan sesuatu yang buruk, kerana tak banyak pasukan yang mampu meledak jaringan sebanyak itu.

"Kami kena teruskan rentak ini dalam beberapa mimggu akan datang, di mana beberapa pemain akan kembali ke dalam pasukan dan ia memberi pilihan tambahan dalam kesebelasan utama nanti," kata Neitzel yang berasal dari Jerman.

Ketika ini, Selangor FC menduduki tangga kelima liga dengan 26 mata dan hasrat untuk mengejar JDT di tangga pertama dilihat mustahil selepas skuad Harimu Selatan itu kini mengumpul 42 mata, dengan baki saingan liga hanya tinggal lima perlawanan.

Namun peluang untuk mengejar kedudukan selaku naib juara masih terbuka apabila Terengganu FC hanya memungut 31 mata diikuti Penang FC (28 mata) dan Kedah Darul Aman FC (26 mata).

ends...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:52 PM