LUKAKU nikmati gaji RM1.17 juta seminggu di Chelsea.
LUKAKU nikmati gaji RM1.17 juta seminggu di Chelsea.
Agensi

London: Romelu Lukaku mungkin tidak akan menyarung jersi Chelsea ketika menentang Villarreal pada saingan Piala Super Uefa di Belfast, Ireland Utara awal pagi Khamis ini.

Bintang Belgium berusia 28 tahun itu melengkapkan pemeriksaan awal perubatan di Milan semalam dan didapati memegang jersi Blues ketika meninggalkan Columbus Clinic sekali gus mengesahkan kepulangannya ke Stamford Bridge dengan kontrak kontrak lima tahun bernilai £97.5 juta (RM570.78 juta) selain menjadi pemain termahal Chelsea dengan gaji £200,000 (RM1.17 juta) seminggu .

Chelsea boleh menurunkan Lukaku untuk aksi menentang Villarreal namun mereka perlu mendaftarkan penyerang itu selewat-lewatnya awal pagi esok.

Bagaimanapun menurut Daily Star, Lukaku tidak akan bermain dan hanya akan bersama rakan sepasukan baharunya apabila mereka kembali daripada misi Piala Super.

Ini bermakna penampilan pertama Lukaku pada Sabtu ini ketika menentang Crystal Palace pada aksi pembukaan musim baharu Liga Perdana 2021/22.

Sementara itu, kemenangan Chelsea ke atas Manchester City di final liga Juara-Juara pada Mei lalu memberi mereka peluang keempat untuk menjuarai Piala Super dalam tempoh sepuluh tahun.

Bagaimanapun, jika mereka menang di Belfast, ia adalah trofi pertama Piala Super sejak menewaskan Real Madrid 1-0 pada final 1998 di Monaco.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 8:42 AM