Agensi

London: Inter Milan berharap dapat mendapatkan semula khidmat penyerang Belgium, Romelu Lukaku dari Chelsea.

Lukaku pula sememangnya mahu ke Inter selepas mengharungi musim sukar di Stamford Bridge dan sedia berdepan pemotongan gaji untuk pulang ke Itali.

Chelsea masih mahu menetapkan yuran pinjaman ke atas pemain berusia 29 tahun itu yang dibeli dengan harga £97.5 juta (RM527 juta) dari kelab Serie A terbabit pada Ogos 2021 dengan Inter berusaha menghadkan bajet mereka susulan kekangan kewangan. Belum ada sebarang perjanjian muktamad mengenai jumlah yuran pinjaman.

Namun kontrak itu dijangka akan ditandatangani akhirnya berdasarkan keinginan tinggi Lukaku yang mahu pulang ke Itali.

Lukaku yang meninggalkan Chelsea dan menyertai Everton dengan nilai £28j pada 2014 kembali ke Stamford Bridge dari Inter dengan kontrak lima tahun pada musim panas lalu.

Penyerang itu meledak 15 gol dalam semua kejohanan bersama Blues dengan lapan daripadanya ketika tampil 26 perlawanan Liga Perdana.

Dia hanya menjaringkan tiga gol dalam 15 aksi terakhir dalam musim yang mengecewakan buat Chelsea.

The Blues menduduki tempat ketiga dalam carta liga dan tewas kepada Liverpool menerusi penalti pada final Piala FA dan Piala Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 12:36 PM