LUKAKU dedahkan dia tak gembira di Chelsea. -FOTO EPA
LUKAKU dedahkan dia tak gembira di Chelsea. -FOTO EPA
Agensi

Paris: Kepulangan Romelu Lukaku ke Inter akan memberi Nerazzurri pilihan baharu ketika mereka kini dalam usaha untuk mendapatkan semula Scudetto musim depan, menurut ketua jurulatih Simone Inzaghi yang melabelkan pemergian penyerang itu tahun lalu sebagai 'tamparan hebat'.

Lukaku menyertai Chelsea dengan rekod perjanjian kelab bernilai £97.5 juta (RM516.18 juta) Ogos lalu namun kembali semula ke San Siro secara pinjaman selepas hanya menjaringkan lapan gol dalam 26 penampilan Liga Perdana buat pasukan Thomas Tuchel.

Milan mengesahkan perpindahan Lukaku dari Chelsea secara pinjaman untuk tempoh semusim pada harga 6.9 juta pound (RM36.5 juta).

Perpindahan itu disempurnakan akhir bulan lalu tetapi Inter mengambil masa untuk mengumumkannya kepada penyokong.

Selepas meninggalkan Inter pada musim panas tahun lalu untuk kembali menyarung jersi Chelsea, Lukaku mengharungi musim kurang memberangsangkan di Stamford Bridge - di mana hubungannya dengan pengendali Tuchel juga tidak begitu baik.

Penjaring antarabangsa Belgium itu meledakkan 64 gol dalam 95 perlawanan sepanjang dua tahun bersama Inter sebelum ini, membantu mereka merangkul kejuaraan Serie A pada 2020-21 dan menyifatkan kemunculan semula Nerazzurri sebagai 'seperti pulang ke rumah'.

Inzaghi yang melatih Lukaku sebelum dia kembali ke Stamford Bridge tahun lalu berkata, penyerang itu memberikan pilihan kepada penukaran taktikal baru dan pilihan untuk penyerang lain di kelab itu musim lalu.

"Tahun lalu hubungan yang terjalin sangat baik tapi tidak bertahan lama," kata Inzaghi.

"Bagi saya ia adalah satu tamparan hebat (kehilangan Lukaku tahun lalu) tanpa lupa bahawa serangan kami adalah yang terbaik di Itali tahun lalu.

"Romelu adalah seorang pemain yang sangat kuat tetapi saya tidak akan melupakan apa yang dilakukan penyerang lain musim lalu yang juga cemerlang dan penuh kekesalan kerana tidak memenangi Scudetto. Tahun ini kami bermula semula dengan keinginan yang besar.

Kali pertama Lukaku menyarung jersi Inter ialah pada musim panas 2019 dan dia membantu skuad kendalian Antonio Conte memenangi Scudetto pada musim 2020-21 dengan meledak 24 gol Serie A.

Masalah kecergasan dan kenyataannya kepada media pada Disember, di mana dia menyatakan tidak gembira di Chelsea, menjadi titik tolak kejatuhannya di Stamford Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 12:04 PM