Sebahagian pemain Boca Juniors yang menyerang pengadil dan pihak berkuasa selepas aksi Copa Libertadores. FOTO Agensi
Sebahagian pemain Boca Juniors yang menyerang pengadil dan pihak berkuasa selepas aksi Copa Libertadores. FOTO Agensi
Agensi

Buenos Aires: Seramai enam pemain dan pegawai Boca Juniors didakwa selepas terbabit pergaduhan dengan polis Brazil ketika disingkirkan Atletico Mineiro dalam saingan Copa Libertadores.

Wakil Argentina, yang berdepan penentuan penalti selepas dua aksi perlawanan terikat tanpa jaringan, tidak berpuas hati dengan gol pada setiap pusingan yang dinafikan oleh VAR.

Berlaku pergaduhan di terowong laluan dan bilik persalinan selepas aksi perlawanan kedua kelompok 16 terakhir di laman Atletico dekat Brazil.

Polis Brazil terpaksa menggunakan penyembur pemedih mata bagi mengawal pemain dan pegawai Boca.

Sehari selepas insiden itu, pihak polis mengeluarkan kenyataan dua pemain Boca didakwa kerana merosakkan kemudahan dan dibebaskan selepas membayar denda £421 (RM2,449) setiap seorang.

Empat lagi individu daripada kelab gergasi Argentina itu didakwa kerana menyebabkan kecederaan kepada anggota pihak berkuasa sebelum dibebaskan selepas bersetuju untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Mereka yang didakwa dan dibebaskan tidak didedahkan namanya dan sudah pulang ke negara mereka. Kerajaan Argentina menetapkan skuad Boca harus menjalani kuarantin sekurang-kurangnya tujuh hari selepas kepulangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 9:07 AM