BOCA meraikan kejayaan memenangi Piala Maradona di Riyadh selepas menang penentuan penalti ketika berdepan Barca. FOTO AFP
BOCA meraikan kejayaan memenangi Piala Maradona di Riyadh selepas menang penentuan penalti ketika berdepan Barca. FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Barcelona berdepan Boca Juniors dalam perlawanan Piala Maradona selepas setahun legenda bola sepak Argentina itu meninggal dunia dan Philippe Coutinho mencipta jaringan 'Tangan Tuhan' versinya sendiri ketika aksi berkenaan.

Bagaimanapun, jaringan yang berpunca daripada Coutinho gagal untuk membantu pasukan bimbingan Xavi Hernandez untuk mencatatkan satu lagi kekalahan.

Perlawanan yang diadakan sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Diego Maradona itu selepas setahun meninggal dunia menyaksikan kelab Argentina, Boca muncul juara menerusi penentuan penalti.

Barcelona mendahului melalui jaringan yang bermula dengan Coutinho menyentuh bola dengan tangan sebelum Ferran Jutgla melepaskan rembatan menerjah ke gawang gol.

Bagaimanapun, Exequiel Zeballos berjaya menyamakan kedudukan buat Boca 13 minit sebelum perlawanan tamat.

Aksi berkenaan disudahi dengan penentuan penalti dengan Barcelona gagal menyempurnakan dua daripada empat sepakan untuk memberikan lawan kejuaraan.

Insiden gol 'Tangan Tuhan' Maradona sangat diingati sampai sekarang ketika menentang England di Piala Dunia 1986 sehingga membolehkan Argentina menjulang trofi pada edisi berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan Coutinho mengulangi insiden Maradona 35 tahun lalu, tatkala pemain kelahiran Brazil itu cuba untuk menghalang bola daripada terkena mukanya sebelum melantun ke arah Jutgla dan melepaskan rembatan deras dari jarak dekat.

Apa pun gol pelik itu gagal untuk menghalang Barca daripada mencatat satu lagi kekalahan selepas aksi hambar pada musim ini..

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 2:07 PM