SOUTHGATE terpaksa menerima hakikat skuadnya tewas di final menerusi sepakan penalti. FOTO AFP
SOUTHGATE terpaksa menerima hakikat skuadnya tewas di final menerusi sepakan penalti. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus England Gareth Southgate berkata memilih Bukayo Saka sebagai pengambil sepakan penalti terakhir adalah keputusannya ketika mereka tewas kepada Itali pada final Euro 2020, awal pagi ini.

Pasukan tuan rumah bermain di final utama buat kali pertama sejak 1966, tewas 3-2 dalam penentuan penalti selepas terikat 1-1 di Wembley.

Southgate juga membawa Jadon Sancho dan Marcus Rashford pada masa tambahan khusus untuk melakukan sepakan penalti dan mereka juga turut gagal menyempurnakannya ketika England mempunyai kelebihan.

"Saya yang memilih pemain yang akan mengambil sepakan penalti. Saya sangat kecewa gagal untuk melangkah selangkah lebih jauh.

"Kami memutuskan untuk membuat perubahan pada akhir permainan tapi kami menang atau kalah sebagai satu pasukan."

Pemain sayap Arsenal, Saka yang membuat lima penampilan antarabangsa sebelum Euro 2020 diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti terakhir England yang menyaksikan sepakan itu diselamatkan Gianluigi Donnarumma selepas Jorginho mensia-siakan peluang untuk Itali apabila sepakan penaltinya ditepis Jordan Pickford.

"Itu keputusan saya untuk memberikannya (Saka) penalti itu," kata Southgate yang terlepas penanti penting ketika England tewas di separuh akhir Euro 96 kepada Jerman di gelanggang sendiri.

"Kami berlatih dengan mereka ketika latihan. Ini adalah perjudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:55 AM