SAKA menangis dan terpaksa ditenangkan oleh rakan pasukan. FOTO AFP
SAKA menangis dan terpaksa ditenangkan oleh rakan pasukan. FOTO AFP
Agensi

London: Bukayo Saka menangis apabila melihat rakan pasukannya menanggalkan pingat dari leher mereka selepas tamat final Euro2020.

Itali dinobatkan sebagai juara Eropah buat kali keempat selepas 120 minit beraksi dengan perlawanan akhirnya diputuskan menerusi penentuan penalti di Wembley.

Pemain Arsenal, Saka, gagal menyempurnakan penanti penting buat England untuk memberi kemenangan kepada Azzurri dengan England mensia-siakan peluang untuk menjuarai kejohanan utama.

Pemain berusia 19 tahun itu diberi kepercayaan oleh Gareth Southgate untuk mengambil sepakan penalti kelima dan kegagalan itu menghadiahkan kegembiraan buat pemain Itali di Wembley.

Dia dilihat menangis dengan beberapa rakan pasukan dan termasuk jurulatih Chris Powell cuba menenangkannya.

Biarpun begitu bekas penyerang Arsenal, Ian Wright memuji keberanian pemain muda itu meletakkan dirinya untuk mengambil sepakan penalti itu dan yakin England akan mendapat sesuatu daripada kekalahan ini tahun depan di Piala Dunia di Qatar.

"Dia lebih daripada mampu untuk mengambil penalti, saya tidak rasa umur memainkan peranan dalam tugas ini," kata Wright.

"Dia cukup berani untuk menerimanya. Anda persoalkan adakah dia layak? Sudah tentu dia layak, dia berada dalam pasukan England kerana dia cukup baik untuk berada di sini.

"Saya rasa sedih untuk semua orang bukan hanya Bukayo. Saya gembira dia berani mengambil tugas itu.

"Itali perlu diberi pujian terhadap cara mereka bermain di kejohanan ini. Apabila anda melepaskan permainan ini kepada pasukan di peringkat ini, adalah sukar untuk mendapatkannya kembali.

"Pada masa yang sama, saya rasa kami sudah melakukan dengan baik untuk sampai ke tahap yang kita harus capai. Gareth melakukan tugas dengan hebat dan ini adalah cara beliau mengendalikan skuad muda.

Komen Wright itu turut disokong penyampai di ITV Gary Neville, yang memberi penuh pujian kepada bintang England biarpun mereka tewas di final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 8:18 AM