PENJAGA gol Itali, Gianluigi Donnarumma menafikan sepakan penalti Bukayo Saka. FOTO EPA
PENJAGA gol Itali, Gianluigi Donnarumma menafikan sepakan penalti Bukayo Saka. FOTO EPA
AFP

London: Itali terus menambah rasa duka England menerusi penentuan penalti apabila memenangi final Euro 2020 selepas menang penentuan penalti 3-2 dengan Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan penalti penting.

Ia sekali gus menafikan hasrat tuan rumah selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium Wembley itu berkesudahan seri 1-1 selepas tamat masa tambahan.

Tendangan Saka berjaya dinafikan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma sekali gus menyaksikan Itali memenangi trofi berprestij itu buat kali kedua.

Sebelum itu Marcus Rashford dan Jadon Sancho juga gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Jorginho berpeluang memberikan kemenangan kepada Itali tetapi sepakan penaltinya diselamatkan oleh Jordan Pickford sekali gus memberi harapan semula kepada England.

Luke Shaw meletakkan England di depan selepas satu minit 57 saat permainan, gol terpantas di final Kejuaraan Eropah sekali gus mengejutkan lawan yang mempunyai rekod 33 perlawanan tanpa kalah.

Itali dilihat bergelut untuk bangkit ketika beraksi di stadium yang dipenuhi seramai 67,173 yang rata-ratanya penyokong England.

Bagaimanapun Itali berjaya menyamakan kedudukan pada pertengahan separuh masa kedua menerusi Leonardo Bonucci.

Dengan tiada jaringan tambahan selepas itu, final kali ini adalah yang pertama ditentukan menerusi penentuan penalti sejak 1976.

Ia menambah luka England yang dikenali gagal dalam penentuan penalti termasuk tewas kepada Itali pada Euro 2012 selain separuh akhir Euro 1996 ketika bertemu Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:49 AM