SOUTHGATE cuba menenangkan Jadon Sancho. FOTO AFP
SOUTHGATE cuba menenangkan Jadon Sancho. FOTO AFP
AFP

London: Pengendali England, Gareth Southgate menggesa skuadnya untuk melupakan keperitan tewas kepada Itali di Euro 2020 untuk melakar kejayaan masa depan dengan bos Three Lions itu bertanggungjawab di atas kegagalan mereka tewas di penalti yang menyakitkan.

England gagal merangkul kejayaan pertama di kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966 apabila Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka semuanya gagal menyempurnakan penalti di Wembley.

Skuad Southgate bermula mengejar impian menerusi Luke Shaw yang membuka jaringan pada minit kedua namun Itali membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila menyamakan kedudukan menerusi Leonardo Bonucci pada separuh masa kedua.

Apabila perlawanan masuk ke penentuan sepakan penalti, Southgate mempertaruhkan pemain gantian Rashford dan Sancho khusus untuk mengambil sepakan penalti.

"Itu tanggungjawab saya. Saya memilih pemain yang mengambil sepakan penalti. Saya memberi tahu pemain tidak ada yang bersendirian dalam situasi itu," kata Southgate.

"Ini keputusan saya untuk memberikan Saka tugas mengambil penalti. Ia sepenuhnya tanggungjawab saya. Buka dia atau Marcus atau Jadon.

"Marcus dan Jadon adalah yang terbaik. Ia satu perjudian (untuk membawa mereka masuk) tapi jika kami mempertaruhkan lebih awal mungkin kami tewas dalam waktu tambahan."

England sebenarnya menang dua penentuan penalti terakhir, menentang Colombia di Piala Dunia 2018 dan menentang Switzerland dalam Liga Negara-Negara pada 2019.

Namun kejayaan itu tidak cukup untuk menghilangkan debaran buat pemain Southgate ketika mereka berada di saat genting di kejohanan tertinggi.

Dengan 60,000 berada di stadium dan berjuta menonton di rumah, England mungkin akan melakar sejarah terpenting jika mereka menang kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 9:46 AM