REAKSI kecewa Saka (kiri) selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
REAKSI kecewa Saka (kiri) selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
Agensi

London: Bukayo Saka menjadi mangsa isu perkauman selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti terakhir ketika England tewas kepada Itali pada final Euro 2020, hari ini.

Bintang Arsenal berusia 19 tahun itu masuk sebagai pemain gantian dan mengambil tanggungjawab sepakan penalti kelima.

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma menafikan sepakan Saka sekali gus menyaksikan Itali menjulang trofi Eropah.

Malangnya selepas tamat perlawanan, Saka berdepan serangan perkauman menerusi beberapa hantaran di akaun Instagram miliknya.

Saka sebelum ini turut berdepan situasi sama di media sosial. Salah seorang pengikutnya menulis 'keluar dari negara saya' manakala seorang lagi berkata: "Pergi balik ke Nigeria."

Persatuan Bolasepak (FA) England kesal dengan tindakan itu dan akan melakukan apa sahaja untuk memberi sokongan kepada barisan pemainnya yang berdepan situasi berkenaan.

"Mereka di belakang tingkah laku jijik ini tidak dialu-alukan memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan," kata FA dalam satu kenyataan.

"Kami akan melakukan apa sahaja untuk memberi sokongan kepada pemain yang terkesan dan menggesa hukuman setimpal dikenakan kepada mereka yang bertanggungjawab."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 10:24 AM