KUIPERS akan mengendalikan perlawanan final. FOTO EPA
KUIPERS akan mengendalikan perlawanan final. FOTO EPA
Agensi

London: Bjorn Kuipers akan mengendalikan perlawanan final England bertemu Itali awal pagi esok, pengadil sama yang menyaksikan England tewas kepada Azzurri pada Piala Dunia 2014.

England melangkah ke pentas final Kejohanan Eropah buat kali pertama selepas menewaskan Denmark pada aksi separuh akhir di Wembley.

Manakala Itali melebarkan rekod tanpa kalah kepada 33 perlawanan selepas skuad bimbingan Roberto Mancini menewaskan Sepanyol dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Jika rekod itu masih lagi tidak menakutkan England, terdapat petanda yang juga tidak memihak kepada Three Lions apabila membabitkan pengadil.

Tujuh tahun lalu, Kuipers mengendalikan perlawanan yang menyaksikan England tewas 1-2 kepada Itali pada saingan Piala Dunia di Brazil.

Pengendali dari Belanda itu tidak melakukan keputusan kontroversi yang menyaksikan skuad bimbingan Roy Hodgson ketika itu tewas.

Bagaimanapun Kuipers yang dilabel sebagai pengadil terkaya di dunia dan pernah mengendalikan perlawanan kedua-dua pasukan tujuh tahun lalu, menyebabkan penyokong Three Lions berharap beliau tidak akan membawa malang kepada pasukan kesayangan mereka awal pagi esok.

Bagaimanapun, penyokong England boleh menarik nafas lega kerana Kuipers juga mengendalikan perlawanan yang menyakskan England menang ke atas Sweden pada aksi suku akhir Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 10:47 AM