HARRY Kane (kanan) dan Jack Grealish antara tonggak utama England pada kempen Euro kali ini. FOTO AFP
HARRY Kane (kanan) dan Jack Grealish antara tonggak utama England pada kempen Euro kali ini. FOTO AFP
Agensi

London: Kempen Euro 2020 menyaksikan England bakal berdepan Jerman sekali lagi pada aksi kalah mati yang sering tidak memihak kepada selama ini.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu di Wembley Rabu ini, lokasi popular yang menyaksikan England menewaskan Jerman pada final Piala Dunia 1966.

Kini skuad bimbingan Gareth Southgate mempunyai peluang untuk melakar sejarah lagi di stadium paling terkenal di England itu.

Bos Three Lions itu juga berpeluang memadam kenangan pahit Euro 96 yang menyaksikannya gagal menyempurnakan sepakang penalti paling penting sehingga menyaksikan Jerman mara ke pentas final.

England juga tewas pada suku akhir Piala Dunia 1970 serta tewas menerusi penentuan penalti Piala Dunia 1990.

Paling terkini England tewas 1-4 di tangan Jerman pada pusingan kedua Piala Dunia 2010.

England setakat ini bertahan dengan cemerlang apabila tidak dibolosi sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan buat kali pertama sejak Piala Dunia 1966.

Bagaimanapun mereka kini bakal berdepan lawan paling sukar yang diperkuatkan pemain seperti Serge Gnabry, Leroy Sane dan Thomas Muller serta banyak lagi.

Sekiranya berjaya melepasi halangan Jerman, England berpeluang untuk mara ke pentas final.

Three Lions dijangka bertemu pemenang antara Sweden dan Ukraine pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 8:59 AM