MEDIA Itali memperlekehkan kemenangan England ketika separuh akhir Euro 2020. FOTO Agensi
MEDIA Itali memperlekehkan kemenangan England ketika separuh akhir Euro 2020. FOTO Agensi
Agensi

London: Media Itali sudah memulakan peperangan psikologi menjelang pertemuan dengan England dalam perlawanan akhir Euro 2020 Isnin depan apabila menyatakan bahawa pasukan bimbingan Gareth Southgate mara disebabkan bantuan pengadil.

England mengalahkan Denmark dalam aksi separuh akhir yang tegang di Wembley pagi tadi, hasil gol kemenangan Harry Kane di masa tambahan.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat penalti yang diraih Raheem Sterling, selepas disahkan melalui Video Bantuan Pengadil (VAR) terlalu kejam buat Denmark.

Dalam akhbar popular Itali, Corriere dello Sport, tajuk yang diguna pakai mereka ialah 'kek kastard puding' yang membawa maksud England yang membosankan.

Tajuk kecil pula tertulis 'Southgate memerlukan bantuan pengadil untuk layak ke final bertemu Itali'.

Satu lagi akhbar utama Itali, Gazzetto dello Sport, dengan bangganya menggunakan tajuk 'Mari menjulang trofi, Denmark berjaya menakutkan England.

Sementara itu wartawan beIN Sports, Tancredi Palmeri memuatnaik di Twitter merujuk kepada lagu popular Three Lions, dengan menggunakan lirik Its diving home bukannya Its coming home.

Ia adalah final pertama England sejak Piala Dunia 1966 namun ia sudah menjadi kebiasaan buat Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 11:32 AM