BEK tengah Itali, Leonardo Bonucci menyempurnakan sepakan penalti di separuh akhir Euro 2020 ketika menewaskan Sepanyol. FOTO EPA
BEK tengah Itali, Leonardo Bonucci menyempurnakan sepakan penalti di separuh akhir Euro 2020 ketika menewaskan Sepanyol. FOTO EPA
AFP

Rome: Pemain pertahanan, Leonardo Bonucci memberi amaran bahawa Itali tidak takut berdepan England di gelanggang sendiri di final Euro 2020, Ahad ini.

Itali mahu menjulang gelaran Eropah kedua sejak 1968 manakala England tidak pernah menang Kejuaraan Eropah dengan trofi utama tunggal adalah Piala Dunia 1966 yang dimenangi di Wembley.

"Bermain di gelanggang mereka tidak menakutkan kami," kata bek tengah Juventus berusia 34 tahun itu pada sidang media, hari ini.

"Kami hanya fikir mahu bermain dan menikmati bola sepak. Selebihnya adalah perbualan saja. Di tengah padang, akan disajikan aksi terbaik untuk bola sepak Eropah dan dunia daripada Itali, England dan pengadil.

"Kami bersedia turun padang walaupun di depan sebahagian besar penyokong England. Kami mahu melakar sejarah, mempamerkan prestasi terbaik dan selepas itu, tengok nanti kesudahannya."

Bonucci dan kapten Itali, Giorgio Chiellini, 36, adalah pemain veteran dan mereka akan berdepan gandingan penyerang muda England, Harry Kane dan Raheem Sterling, yang menyinar di kejohanan setakat ini.

"Orang tua lawan orang muda..." kata Bonucci sambil tersenyum.

"Kane? Kami bukan kenal dia sekarang, sudah beberapa musim dia bermain cemerlang dengan Tottenham dan England.

"Dalam tiga perlawanan terakhir, kami bernasib baik berdepan tiga penyerang terbaik dunia (Romelu Lukaku, Alvaro Morata dan Kane). Ia akan menambah motivasi supaya tidak bolos.

"Mereka adalah penyerang yang gagah, kami perlu lebih berhati-hati di benteng dan keseluruhan pasukan.

"Kami sedar kesukaran yang mereka boleh berikan dan kami perlu mengawasi kepantasan mereka."

Bonucci dan Chiellini adalah dua pemain masih kekal daripada skuad yang tewas kepada Sepanyol di final Euro 2012 dan jurulatih, Roberto Mancini mula mengemudi pasukan pada 2018 selepas mereka gagal layak ke Piala Dunia di Russia.

"Mancini membimbing kami dengan baik sejak hari pertama," kata Bonucci.

"Dari situ, kami merasakan semua orang bersemangat untuk bermula semula.

"Dia bekerja dengan memberi tumpuan kepada kekuatan mental, membina semula keyakinan diri dan semangat untuk berjuang."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 11:09 PM