GARY Neville. FOTO Agensi
GARY Neville. FOTO Agensi
Agensi

London: Gary Neville percaya mengejek lagu kebangsaan 'bukanlah satu serangan' selepas Persatuan Bolasepak (FA) England dikenakan tindakan kerana penyokong England mengejek lagu kebangsaan Denmark.

Pandangan kontroversi legenda Manchester United itu menyebabkan pendapat berbeza di kalangan penyokong di media sosial dengan Gary Lineker mempunyai pendapat yang bertentangan.

Neville menulis di Twitter miliknya: "Ketika saya beraksi berdepan negara berbeza, lagu kebangsaan kami diejek.

"Saya sentiasa anggap itu sebagai tindakan penyokong lawan untuk mengganggu dan menenggelamkan penyokong England serta tidak menganggapnya sebagai satu bentuk serangan.

"Sama juga apabila apabila kami melakukannya ke atas pasukan lain. Adakah ia terlalu teruk dan sangat tidak sopan?"

Komen bekas penolong pengurus England itu tidak dipersetujui oleh ramai pihak dengan salah seorang daripanya membalas: "Adalah tidak sopan untuk mana-mana pihak melakukan perkara seperti itu."

Bagaimanapun ada yang bersetuju dengan pendapat Neville.

"Benar. Hanya bukan penyokong bola sepak yang tidak memahaminya," tulis salah seorang pengikutnya.

Manakala seorang lagi pengikut Neville menulis: "Sejujurnya saya tidak rasakan 95 peratus penyokong melakukannya untuk menghina pihak lawan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:40 AM