CAHAYA hijau laser jelas kelihatan pada wajah penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel ketika dia bersiap menanti sepakan penalti diambil kapten England, Harry Kane. FOTO Agensi
CAHAYA hijau laser jelas kelihatan pada wajah penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel ketika dia bersiap menanti sepakan penalti diambil kapten England, Harry Kane. FOTO Agensi
AFP

Lausanne: Uefa membuka siasatan disiplin dan pendakwaan ke atas England berhubung sikap penyokong ketika menewaskan Denmark di separuh akhir Euro 2020, semalam, termasuk dakwaan laser dipancarkan ke muka penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Gambar di media Britain menunjukkan cahaya laser hijau dipancarkan ke muka Schmeichel sebelum Harry Kane mengambil sepakan penalti pada masa tambahan.

Malah, sebahagian penyokong di Wembley mengejek ketika lagu kebangsaan Denmark dimainkan.

Badan induk bola sepak Eropah itu, hari ini menyatakan mendakwa England kerana penyokong menggunakan pancaran laser, gangguan ketika lagu kebangsaan dan membakar mercun.

Schmeichel pada mulanya menepis bola sepakan penalti Kane itu, tetapi kapten England itu menjaringkan gol susulan untuk memastikan anak buah Gareth Southgate menang 2-1, sekali gus layak kali pertama ke final kejohanan utama dalam tempoh 55 tahun.

Mereka akan berdepan Itali di final di Wembley, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 8:30 PM