SOUTHGATE pada sesi latihan. FOTO AFP
SOUTHGATE pada sesi latihan. FOTO AFP
AFP

London: Gareth Southgate memberi amaran kepada penyokong England agar tidak mengejek lagu kebangsaan Itali sebelum bermulanya aksi final Euro 2020 awal pagi esok.

Sekitar 60,000 penyokong England akan memenuhi Stadim Wembley bagi memberi sokongan kepada Three Lions yang sedang memburu kejuaraan utama buat kali pertama selepas 55 tahun.

Lagu kebangsaan Jerman, Denmark dan Scotland menerima ejekan daripada penyokong England di Wembley sebelum ini.

Bos England, Southgate tidak mahu perkara sama berulang lagi sebagai tanda menghormati Itali selain beliau berasakan tindakan itu hanya akan meningkatkan semangat anak buah Roberto Mancini.

"Adalah amat penting untuk penyokong sentiasa menghormati lawan," kata Southgate.

"Kami tahu apabila beraksi di luar dan penyokong mengejek lagu kebangsaan kami ia menambahkan semangat. Saya tidak rasa ia akan membantu pasukan.

"Kita boleh mengejek lawan ketika berlangsungnya perlawanan tetapi tidak ketika lagu kebangsaan dimainkan."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 5:55 AM