BEK tengah England, John Stones meraikan kejayaan menewaskan Denmark di separuh akhir Euro 2020 di Wembley, Rabu lalu. FOTO AFP
BEK tengah England, John Stones meraikan kejayaan menewaskan Denmark di separuh akhir Euro 2020 di Wembley, Rabu lalu. FOTO AFP
AFP

London: Bek tengah England, John Stones mencabar rakan sepasukan untuk memastikan mimpi mereka di Euro 2020 menjadi kenyataan apabila berdepan Itali di final di Wembley, Ahad ini.

Anak buah Gareth Southgate melangkah ke final pertama dalam sejarah Kejuaraan Eropah selepas 55 tahun kemarau penampilan ke final kejohanan utama.

Jika menewaskan Itali, ia adalah trofi kedua antarabangsa dalam sejarah bola sepak England selepas menang Piala Dunia 1966 di Wembley.

Stones, yang juga bek tengah Manchester City mengakui sukar untuk menggambarkan England memiliki peluang keemasan untuk mencipta sejarah apabila kejohanan bermula, empat minggu lalu.

"Ia memang hebat dan final di Wembley menjadikannya lebih istimewa dan sesuatu yang boleh dianggap sebagai mimpi apabila kejohanan bermula," kata Stones, hari ini.

"Kami sudah melangkah jauh dan membangun sepanjang kejohanan serta tidak meletakkan banyak tekanan kepada diri sendiri. Kami sudah melepasi beberapa ujian sukar sejak beberapa tahun lalu.

"Kami belajar banyak perkara, menimba pengalaman dan ia membantu kami ke tempat sepatutnya pada Ahad ini. Ia adalah kesempatan terbesar."

Bobby Moore, Geoff Hurst, Bobby Charlton dan semua pemain yang membantu England menang Piala Dunia 1966 kekal sebagai ikon ramai.

Potensi untuk menjadi kumpulan legenda sukan England tidak menyebabkan Stones hanyut.

Ketika ditanya jika memenangi kejohanan akan mengubah hidupnya, Stones berkata: "Saya tidak fikir begitu!

"Kami semua sayangkan pasukan England, membesar sebagai penyokong, kini bermain untuk mereka dan sudah tentu, ia peluang sangat dihargai.

"Ini adalah detik membanggakan, diharapkan saya berada dalam kesebelasan utama. Ini adalah kesempatan istimewa."

Selepas terkandas di separuh akhir Piala Dunia 2018, England melangkah lebih jauh kali ini. Mereka berpeluang muncul juara dan menamatkan kemarau trofi yang sangat panjang.

"Ahad ini, kami turun padang dan berjuang untuk segalanya, kami mahu menang perlawanan ini," kata Stones.

"Ada hadiah besar di hujung perlawanan dan kami menjadi penerimanya nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 12:17 AM