JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand meninggalkan hotel pasukan di Helsingor, hari ini untuk bergerak ke London menjelang aksi separuh akhir Euro 2020 bertemu England di Wembley, esok. FOTO AFP
JURULATIH Denmark, Kasper Hjulmand meninggalkan hotel pasukan di Helsingor, hari ini untuk bergerak ke London menjelang aksi separuh akhir Euro 2020 bertemu England di Wembley, esok. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Denmark, Kasper Hjulmand percaya pasukannya boleh mengambil kesempatan terhadap tekanan dialami England sebagai tuan rumah untuk mencipta sejarah pada aksi separuh akhir Euro 2020 di Wembley, esok.

Pada ketika aksi separuh akhir dilangsungkan di depan 60,000 penyokong England, anak buah Gareth Southgate yang berada pada prestasi terbaik sudah pasti menjadi pilihan melangkah ke final kali pertama di Kejuaraan Eropah.

Pasukan Three Lions tidak pernah bermain di final kejohanan utama sejak menang Piala Dunia 1966.

Sehubungan itu, Hjulmand berharap jangkaan tinggi daripada penyokong di negara gila bola sepak itu akan menjadi tekanan yang menghimpit England.

"Sudah pasti, tekanan terlalu berat buat England. Kami perlu mengambil kesempatan terhadap situasi itu. Mereka memiliki ramai penyokong, yang bermakna tekanan dan harapan terlalu tinggi," kata Hjulmand.

"Saya fikir, ia bukan mudah buat mereka. Kami fikir boleh mengambil peluang terhadap tekanan dipikul mereka."

Sambil menegaskan England sebagai pasukan pilihan, Hjulmand berkata: "Saya tidak fikir perlawanan dimenangi oleh pendapat pakar. Ia dimenangi di atas padang.

"Kami sudah menunjukkan kedudukan sebagai pasukan sukar ditewaskan dan pasukan lawan perlu bermain tahap terbaik untuk menewaskan kami.

"England adalah pasukan hebat, tetapi kami tetap yakin dengan kemampuan sendiri. Pasukan itu amat yakin.

"Tidak banyak kebimbangan, sebaliknya lebih banyak keseronokan dan keyakinan. Kami percaya England sukar menewaskan kami. Tugas kami belum berakhir."

Hjulmand merujuk kepada keupayaan Denmark menang 1-0 ke atas England di Wembley pada aksi Liga Negara, Oktober lalu apabila Harry Maguire dibuang padang dan ia boleh dijadikan bukti mencipta kejutan sekali lagi.

"Sudah tentu perlawanan itu memberikan kami keyakinan. Maguire dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama dan ia merubah perlawanan. Kami turut seri 0-0 di Copenhagen," katanya.

"Berdasarkan kekuatan mental dan semangat sepasukan dimiliki, kami yakin ada peluang pada perlawanan separuh akhir ini."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 1:58 AM