KAPTEN England, Harry Kane (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final menentang Itali di Wembley, esok. FOTO AFP
KAPTEN England, Harry Kane (kanan) berlatih bersama rakan sepasukan menjelang final menentang Itali di Wembley, esok. FOTO AFP
AFP

London: Ratu Elizabeth mengutuskan pesanan 'Selamat Berjaya' kepada Gareth Southgate dan pasukan England menjelang aksi final Euro 2020 menentang Itali di Wembley, malam esok.

Anak buah Southgate layak ke final Kejuaraan Eropah buat kali pertama dan menamatkan penantian 55 tahun England untuk beraksi di final kejohanan utama.

Ratu itu yang kini berusia 95 tahun, menyerahkan Piala Dunia kepada kapten England, Bobby Moore apabila mereka menang satu-satunya trofi utama ketika menewaskan Jerman Barat di Wembley pada 1966.

"55 tahun lalu, saya bertuah dapat menyerahkan Piala Dunia kepada Bobby Moore dan menyaksikan makna trofi itu buat pemain, pengurusan dan pasukan sokongan apabila mara ke final dan menang piala utama bola sepak," tulis beliau.

Pada ketika England hampir mencipta sejarah, beliau berkata: "Saya mahu mengucapkan tahniah daripada diri sendiri dan keluarga kepada pasukan yang layak ke final Kejuaraan Eropah.

"Saya menghantar ucapan selamat ini untuk final esok dengan harapan sejarah akan tercipta bukan hanya mengenai kejayaan, tetapi semangat, komitmen dan kebanggaan yang kamu pamerkan."

Ratu Elizabeth yang menyampaikan trofi Euro 96 kepada Jerman di Wembley, dijangka tidak hadir di final esok.

Cucunya, Putera William, akan menjadi wakil diraja di final selaras dengan kedudukannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 1:54 AM