PERTAHANAN Terengganu FC, Muhammad Mohd Fauzi (kiri) akui kecewa selepas Piala AFC dibatalkan. FOTO TFC
PERTAHANAN Terengganu FC, Muhammad Mohd Fauzi (kiri) akui kecewa selepas Piala AFC dibatalkan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Impian saya untuk membuat penampilan pertama dalam kejohanan Piala AFC musim ini berkecai," kata pemain Terengganu FC (TFC), Muhammad Mohd Fauzi atau lebih mesra dipanggil 'Mad'.

Bagaimanapun pertahanan tengah berusia 25 tahun itu tidak mahu episod malang itu berpanjangan, sebaliknya dia tekad mahu ubati luka dengan memasang impian untuk memburu slot ke saingan Asia itu musim depan.

Pemain yang pernah berguru selama tiga bulan dalam Liga Perdana Queensland, Australia ketika menyarung jersi pasukan Harimau Muda A pada 2014 berazam mahu mengakhiri Liga Super sekurang-kurangnya menghuni di tangga kedua liga sekali gus memperbaiki rekod musim lalu di kedudukan ketiga.

"Siapa tidak kecewa dengan pembatalan Piala AFC itu, dah lah kami menunggu keputusan itu agak lama, akhirnya kami menerima berita menyedihkan itu.

"Lebih kecewa kami menanti hampir sembilan tahun sebelum dapat bermain di pentas tertinggi itu, malangnya tiba masanya kejohanan itu dibatalkan, kami benar-benar terkejut dan tidak menyangka lebih-lebih lagi saya mahu membuat penampilan pertama.

"Tapi apa boleh buat, keputusan sudah dimaklumkan mengenai pembatalan itu, mungkin tahun ini bukan rezeki kami untuk beraksi di peringkat Asia berikutan kebimbangan wabak pandemik Covid-19.

"Namun saya tidak akan sesekali berputus asa, sebaliknya kami akan berusaha lebih gigih untuk berikan keputusan yang positif dalam saingan liga bagi melayakkan diri ke pentas AFC tahun depan," kata bekas pemain T-Team itu ketika dihubungi.

Semalam Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan aksi Piala AFC Zon Asean Kumpulan I membabitkan pasukan TFC, Geylang International FC (Singapura) Lalenok United FC (Timor Leste) dan Visakha FC dari Kemboja terpaksa dibatalkan berikutan tiada negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, turut dibatalkan aksi Kumpulan G dan H.

Terdahulu Singapura yang sepatutnya menjadi hos pada aksi yang dijadualkan bermula 29 Jun lalu membuat keputusan mengejut dengan mengumumkan penarikan diri daripada menjadi tuan rumah berikutan kebimbangan situasi wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 2:13 PM