Pemain pertahanan TFC, Muhammad Hafizal Mohamad.
Pemain pertahanan TFC, Muhammad Hafizal Mohamad.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kegagalan melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala AFC musim depan selepas menghuni di tangga keempat Liga Super bukan episod penamat buat pertahanan kental Terengganu FC (TFC), Muhammad Hafizal Mohamad.

Sebaliknya bekas pemain Harimau Muda kelahiran Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu itu akui semangatnya dan rakan sepasukan kian membara selain tekad untuk menebus kembali kehampaan itu dalam saingan Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya minggu depan.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, pentas piala tertua di Asia itu adalah landasan terbaik buat pasukannya untuk mengulangi pencapaian layak beraksi di pentas Piala AFC musim ini walaupun akhirnya saingan itu dibatalkan.

"Kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin aksi Piala Malaysia untuk mengintai satu lagi slot ke Piala AFC musim depan kerana ianya adalah peluang terakhir buat pasukan.

"Walaupun tidak mudah kerana perlu menjuarai kejohanan edisi ke-100 itu, tapi kami sudah berazam dan akan bekerja lebih keras lagi untuk memburu tempat dalam kejohanan peringkat Asia itu sekali gus mahu mencipta rekod peribadi layak beraksi di pentas itu buat kali pertama selepas hampa musim ini," katanya ketika dihubungi.

Mengulas saingan Piala Malaysia dalam Kumpulan B yang disifatkan sebagai 'kumpulan maut' selepas turut dibarisi Selangor FC, Perak FC dan pasukan di kedudukan ketiga Liga Perdana, Hafizal tidak menafikannya.

Namun bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) itu enggan memikirkan apa jua label dan status yang diberikan terhadap kumpulannya kerana baginya yang lebih penting adalah mahu pamerkan aksi terbaik.

"Jika kami berjaya melepasi peringkat kumpulan, peluang untuk melangkah lebih jauh saya lihat lebih cerah kerana kami sudah bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 8:27 PM