Sebahagian pemain KDA FC giat menjalani latihan di Alor Setar. FOTO Ihsan KDA FC.
Sebahagian pemain KDA FC giat menjalani latihan di Alor Setar. FOTO Ihsan KDA FC.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Fokus dan misi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini kembali terarah dalam saingan Liga Super selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan terpaksa membatalkan saingan Piala AFC membabitkan tiga kumpulan yang turut diisi skuad Hijau Kuning itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali, pihaknya akur dengan keputusan AFC itu yang berpunca daripada wabak Covid-19 hingga menyebabkan tiada negara yang sanggup menganjurkan aksi peringkat kumpulan Piala AFC itu.

"Kita tak boleh nak buat apa dan kena ikut saja keputusan dibuat AFC. Tak ada guna kita nak melawan atau fikirkan lagi sebab isu pembatalan pun disebabkan wabak.

"Kita terima keputusan itu dengan hati terbuka walaupun sudah banyak persiapan yang kita buat. Kalau ikutkan ini dah tahun kedua kita tak jadi main, tapi kita tak patah semangat.

"Sebaliknya kita akan beri fokus sepenuhnya untuk hadapi baki Liga Super dan saya percaya motivasi pemain tinggi untuk rebut lagi tiket Piala AFC musim depan pulal," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi satu kenyataan media dari AFC hari ini, badan induk itu mengesahkan perlawanan peringkat kumpulan membabitkan Zon Asean termasuk Kumpulan G, H dan I dibatalkan.

Pengesahan itu pastinya menyedihkan KDA FC dan satu lagi wakil negara Terengganu FC (TFC) yang sudah melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi saingan kedua tertinggi peringkat kelab Asia selepas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Untuk rekod, KDA FC mendapat slot ke Piala AFC selepas menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tempat kedua, diikuti TFC di tangga ketiga, manakala Johor Darul Ta'zim (JDT) yang muncul juara liga meraih tiket ke ACL.

"Kita mahu cuba perbaiki pencapaian Liga Super musim lalu dan walaupun kita tahu JDT sebuah pasukan yang kuat, tapi kita perlu mencuba hingga akhir musim mana tahu rezeki memihak kita," kata Khamal yang juga bekas pemain Kedah pada era 90an itu.

Selepas mengharungi 13 aksi Liga Super musim ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak kini di tangga ketiga dengan 26 mata di belakang JDT dan TFC yang masing-masing mengumpul 30 dan 27 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:32 PM