PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (kiri) dan pemain tengah, Thorgan Hazard berlatih menjelang pertarungan dengan Itali. FOTO AFP
PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (kiri) dan pemain tengah, Thorgan Hazard berlatih menjelang pertarungan dengan Itali. FOTO AFP
AFP

Paris: Belgium cemas dengan masalah kecergasan dua bintang mereka, Eden Hazard dan Kevin De Bruyne menjelang suku akhir Euro 2020 dengan Itali di Munich, hari ini.

Belgium yang menduduki ranking nombor satu dunia akan berdepan Itali, yang memburu rekod 31 perlawanan tanpa kalah dan jelas, ini adalah pertarungan heavyweight Eropah.

Kedua-duanya menang semua 10 perlawanan di pusingan kelayakan dan menang semua aksi di peringkat kumpulan Euro 2020, bersama Belanda yang sudah tersingkir.

"Anda akan menyaksikan dua pasukan terbaik berdasarkan statistik di kejohanan ini," kata jurulatih Belgium, Roberto Martinez, yang menyaksikan anak buahnya menewaskan juara bertahan, Portugal di pusingan kedua.

"Kami terpaksa berdepan Portugal terlalu awal dan kini Itali pula. Saya fikir akan memalukan bagi kedua-dua pasukan kebangsaan apabila kami bertemu di peringkat ini."

Belgium menewaskan Cristiano Ronaldo dan Portugal di Seville menerusi jaringan Thorgan Hazard, sekalipun kehilangan De Bruyne dan Eden Hazard kerana kecederaan pada babak kedua.

Berita sepanjang minggu di Belgium menjelang aksi suku akhir itu didominasi mengenai tahap kecergasan dua pemain tengah berkenaan.

"Kami semua sedang berjuang dengan masa dan kami akan menunggu sehingga saat akhir sebelum membuat keputusan," kata Martinez.

Italy jelas pasukan paling memberangsangkan di peringkat kumpulan apabila menjaringkan tujuh gol tanpa bolos menentang Turki, Switzerland dan Wales di Rome.

Bagaimanapun, mereka berdepan cabaran sengit Austria sehingga masa tambahan pada aksi pusingan kedua di Wembley, tetapi, jurulatih, Roberto Mancini bersedia menentang Belgium dan berharap lawan mereka itu berada pada kekuatan terbaik.

"Belgium adalah pasukan pintar. Mereka menduduki tangga teratas dunia selama tiga tahun.

"Kami pula bermain dengan baik dan sebagai penyokong neutral, memang bagus sekiranya dapat menyaksikan mereka turun dengan kekuatan terbaik," kata Mancini.

"Jadi, kami harap semua orang cergas dan dapat bermain. Sudah tentu, mereka akan memberikan kami masalah, tetapi ia memang baik untuk bola sepak."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 10:48 PM