REAKSI Donnarumma selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
REAKSI Donnarumma selepas tamat perlawanan. FOTO EPA
Agensi

London: Penjaga gol Itali Gianluigi Donnarumma mengalirkan air mata kegembiraan selepas mereka mara ke final Euro 2020 dengan menewaskan Sepanyol 4-2 menerusi penentuan penalti.

Dia menyelamatkan sepakan Alavaro Morata sebelum penalti Jorginho memastikan kemenangan Azzurri.

"Perlawanan ini tidak mudah tetapi dengan kekuatan yang ada kami berjaya mara ke final,'' katanya kepada Sky Sport Italia.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini. Saya lebih tenang ketika penentuan penalti kerana saya tahu saya boleh bantu pasukan. Kami berikan segalanya dan kini hanya selangkah untuk realisasikan impian"

Sepanyol lebih mendominasi perlawanan (70 peratus) dengan 16 percubaan berbanding Itali tujuh dan mencipta lebih banyak peluang terbaik.

"Mereka sangat kuat tetapi Itali miliki semangat juang tinggi, tidak berputus asa dan kami dapat saksikannya. Kami diasak sepanjang perlawanan tetapi akhirnya kami menang.

"Sepanyol berhak mendapat pujian kerana banyak menimbulkan masalah kepada kami.''

Itali mendahului menerusi rembatan lencung Federico Chiesa yang juga jaringan kedunya dalam tiga perlawanan sebelum Morata menyamakan kedudukan pada lewat permainan.

Dia dipilih pemain terbaik perlawanan dan menujukannya kepada rakan sepasukan Leonardo Spinazzola yang mengalami kecederaan ketika menewaskan Belgium pada suku akhir.

"Dia sepatutnya membantu kami malam ini tetapi apa sahaja boleh beraku dalam bola sepak. Kami harap dapat memberikannya kegembiraan di final,'' kata Chiesa.

Itali pasukan kedua Eropah yang menang enam perlawanan pertama di kejohanan utama selepas Belanda pada Piala Dunia 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 8:15 AM