PEMAIN England meraikan jaringan kapten mereka,  Harry Kane ketika menang 2-1 ke atas Denmark di separuh akhir Euro 2020 di Wembley, semalam. FOTO EPA
PEMAIN England meraikan jaringan kapten mereka, Harry Kane ketika menang 2-1 ke atas Denmark di separuh akhir Euro 2020 di Wembley, semalam. FOTO EPA
AFP

London: Penyokong England hari ini menerima realiti pasukan kebangsaan melangkah kali pertama ke final kejohanan utama dalam tempoh 55 tahun, selepas menewaskan Denmark dan akan berdepan Itali di kemuncak Euro 2020, Ahad ini.

Tiga tahun selepas kecundang di tangan Croatia di separuh akhir Piala Dunia 2018, anak buah Gareth Southgate mengatasi Denmark, 2-1 pada masa tambahan untuk menggamatkan Wembley apabila mara kali pertama ke final Kejuaraan Eropah.

Mereka kini tinggal satu lagi perlawanan untuk menamatkan kemarau panjang trofi yang menyakitkan, selepas kali terakhir menang Piala Dunia 1966.

Menanti mereka adalah Itali, yang kini tidak tewas dalam 33 perlawanan dan kembali menunjukkan reputasi di peringkat dunia selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Gol sendiri kapten Denmark, Simon Kjaer menghapuskan kelebihan sepakan percuma menarik Mikkel Damsgaard dan Kasper Schmeichel bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya England untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Detik penentuan hadir pada separuh masa pertama masa tambahan apabila pengadil Belanda, Danny Makkelie menghadiahkan sepakan penalti selepas Joakim Maehle mengasari Raheem Sterling dan ia disempurnakan Harry Kane.

Bagi Denmark, kekalahan itu menamatkan kisah dongeng layak ke separuh akhir kempen penuh trauma apabila pemain tengah, Christian Eriksen rebah di padang pada perlawanan pembukaan dengan Finland akibat serangan jantung.

England mengalami kekecewaan empat kali di separuh akhir kejohanan utama sejak 1966 dan kekalahan demi kekalahan itu memberikan kesan besar kepada bola sepak Inggeris.

Tetapi, Southgate diperkukuhkan bakat muda yang tidak peduli dengan kekalahan pasukan terdahulu.

"Mereka memberikan reaksi terbaik kepada detik yang selalunya menjadi malam cukup mencabar," kata Southgate mengenai pemainnya, yang tidak dibolosi lima perlawanan sebelum menentang Denmark.

"Misi kami berjalan lancar di suku akhir dan tidak tercalar di pusingan kedua. Kami tahu apabila sampai masa, kami akan dibolosi dan perlu bertindak balas."

Beliau berkata: "Bagi negara kami, saya tidak pernah mendengar wajah baru Wembley seperti ini dan dapat berkongsi dengan semua orang di tempat sendiri memang istimewa."

Perlawanan itu turut dihadiri Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dan Putera William iaitu Presiden Persatuan Bola Sepak Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:55 PM