KOEMAN dikaitkan dengan jawatan jurulatih Belanda. FOTO/AFP
KOEMAN dikaitkan dengan jawatan jurulatih Belanda. FOTO/AFP
Reuters

AMSTERDAM: Ronald Koeman bakal dilantik sebagai jurulatih baru skuad Belanda selepas Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) mengadakan sidang media esok, demikian menurut laporan media negara itu.

Koeman menjadi satu-satunya individu yang dikaitkan dengan tugas itu oleh media Belanda dan pengumuman rasmi akan dibuat di ibu pejabat KNVB di Zeist.

Jurulatih berusia 54 tahun itu akan menggantikan Dick Advocaat yang meletak jawatan pada November lalu selepas gagal membawa pasukannya mara ke Piala Dunia di Russia.

Koeman berdepan tugas untuk mengubah nasib pasukan yang kurang dari lapan tahun lalu adalah naib juara Piala Dunia namun tidak beraksi dalam kejohanan utama sejak 2014 selepas gagal menempah tiket menyertai Kejuaraan Eropah dua tahun lalu.

Jurulatih Belanda itu ketika ini tidak mempunyai sebarang komitmen selepas dipecat Everton Oktober lalu susulan aksi hambar di Liga Perdana Inggeris.

Tugas pertama beliau adalah mengendalikan aksi persahabatan berkualiti dengan England dan Portugal pada Mac, ketika Belanda membantu persediaan pasukan yang layak ke Russia.

Matlamat utamanya sudah pasti adalah layak ke Euro 2020.

Koeman yang memiliki 78 cap bersama Belanda memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan selepas mengendalikan kelab Vitesse Arnhem, Ajax Amsterdam, Benfica, PSV Eindhoven, Valencia, AZ Alkmaar, Feyenoord, Southampton dan Everton.

Media Belanda berkata jurulatih penjaga gol Everton Patrick Lodewijks dan bekas pemain Belanda Kees van Wonderen akan menjadi pembantu Koeman, yang berkemungkinan menyingkirkan Ruud Gullit yang sebelum ini menjadi pembantu Advocaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:30 AM