MORATA melakukan percubaan di depan gawang Croatia. FOTO AFP
MORATA melakukan percubaan di depan gawang Croatia. FOTO AFP
Agensi

Copenhagen: Luis Enrique percaya mana-mana pasukan di dunia pasti gembira jika mempunyai Alvaro Morata dalam skuad mereka selepas membantu Sepanyol mara ke suku akhir Euro 2020.

Penyerang Sepanyol Morata melupakan masalah di luar padang dan meledak gol pada masa tambahan ketika menewaskan Croatia 5-3 dalam aksi sengit pusingan kedua di Stadium Parken awal pagi tadi.

Sebelum perlawanan Luis Enrique menganggap kejian dan ugutan kepada Morata dan keluarganya dianggap jenayah dan mahu polis mengambil tindakan.

"Saya tak fikir mana-mana jurulatih skuad kebangsaan di dunia ini yang tidak akan menilai Morata dan apa dilakukan kepada pasukan," katanya selepas pemain berusia 28 tahun itu melakukan 84 peratus hantaran dalam kawasan lawan selain mencipta dua peluang kepada rakan sepasukan.

"Dia menguasai bola, kuat dan mendapatkan kami gol. Kami perlu hargai penyerang seperti dia.''

Sepanyol ketinggalan pada babak pertama selepas penjaga gol Unai Simon gagal menjangka hantaran ke belakang Pedri dari jarak 36 meter masuk ke gawang sendiri.

Penjaga gol Athletic Bilbao itu menebus kesilapannya pada awal tambahan masa apabila menyelamatkan rembatan jarak dekat Andrej Kramaric ketika kedudukan 3-3.

"Unai menjadi contoh kepada sesiapa sahaja,'' kata Enrique.

"Bola sepak ada kalanya berlaku kesilapan tetapi reaksi dan aksi menyelamatnya membuatkan kami terus menaruh kepercayaan kepadanya.''

Selepas muncul pasukan pertama meledak lima gol dalam dua perlawanan berturut-turut dalam sejarah Kejohanan Eropah, Sepanyol akan menentang Switzerland pada suku akhir awal pagi Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 8:06 AM