RAMLI SARIP yang sudah berusia ‘emas’ tetap jadi pilihan peminat.
RAMLI SARIP yang sudah berusia ‘emas’ tetap jadi pilihan peminat.
Norhayati Nordin


WALAUPUN industri hiburan di Malaysia tidak permah surut dengan kemunculan bakat baharu bidang seni suara, namun penghibur lama atau 'otai' masih jadi perhatian ramai.

Malah, carta lagu hujung minggu yang dikendalikan stesen radio swasta juga masih didapati ada lagu-lagu popular era 1980-an dan 1990-an yang tersenarai dan menjadi pilihan pendengar masakini walaupun diberi 'nafas baharu'.

Begitu juga dalam persembahan konsert dianjurkan, nama penyanyi seperti Datuk Awie, Datuk Amy Search, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Ramli Sarip masih ditagih penonton untuk menyaksikan kemunculan mereka.

Ternyata status 'warga emas' itu hanya gelaran disebabkan faktor usia yang makin meningkat, namun realitinya dari segi stamina pastinya golongan penyanyi senior ini masih lagi bertenaga kerana pengalaman yang mendewasakan.

Ramli, 72, juga penyanyi kumpulan Sweet Charity berkata, pengalaman yang menjadikan dirinya seperti hari ini dan semua itu tidak boleh dijual beli kerana mereka yang melalui perjalanan dalam karier seni saja mampu memahaminya.

"Termasuklah, bagaimana saya boleh menjaga suara dan stamina diri pada usia emas ini. Semuanya berkait dengan pengalaman. Ia (pengalaman) sangat penting sebab pengalaman itu kita tidak boleh belajar, tapi diajar dalam perjalanan harian kehidupan.

"Begitu juga suara saya. Sebenarnya, suara adalah satu anugerah yang setiap orang mempunyai kurniaan tersendiri. Tapi, mungkin kebetulan pengalaman saya yang agak lama dan panjang dalam karier nyanyiam, jadi ia banyak membantu," katanya.

Berbicara juga penjagaan pemakanannya, 'superstar' dari Singapura ini tidak menafikan beliau mengamalkan pengambilan 'supplement' atau makanan tambahan setiap hari dan lebih fokus kepada makanan sunnah.

RAMLI cukup popular dengan lagu seperti Kamelia, Teratai, Perjalanan Hidup dan Istilah Bercinta.
RAMLI cukup popular dengan lagu seperti Kamelia, Teratai, Perjalanan Hidup dan Istilah Bercinta.

"Bagi pengambilan 'supplement', saya sudah amalkan makanan sunnah agak lama kira-kira puluhan tahun dulu. Terutama, amalkan memakan habatus sauda, madu, susu, minyak zaitun dan pelbagai lagi.

"Boleh dikatakan, itu antara makanan sunnah yang perlu saya ambil secara harian. Malah, paling utama dan penting adalah saya juga tidak merokok dan tidak pernah mengambil apa saja minuman yang memang tidak baik untuk badan," katanya.

Sudah separuh abad berkecimpung dalam karier nyanyian, Ramli sangat dikenali peminatnya dengan lagu 'hits' seperti Kamelia, Doa Buat Kekasih, Perjalanan Hidup, Istilah Bercinta, Bukan Kerana Nama, Teratai, Musafir Rindu dan banyak lagi.

Didapati sejak tahun lalu apabila situasi Covid-19 terkawal, banyak penganjuran konsert diadakan dan Ramli adalah antara figura terkenal yang menjadi pilihan penganjur kerana vokalnya dan persembahan tidak mengecewakan.

Ditambah, walaupun perlu menghiburkan penonton hingga hampir dua jam atau lebih dalam satu-satu konsert, Ramli tetap berupaya memberikan komitmen terbaik yang boleh disifatkan 'tidak terlalu berkira' meskipun dirinya berusia emas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:31 AM