PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata menjaringkan gol keempat ketika pasukannya menang 5-3 ke atas Croatia pada pusingan kedua Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Sepanyol, Alvaro Morata menjaringkan gol keempat ketika pasukannya menang 5-3 ke atas Croatia pada pusingan kedua Euro 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Sepanyol melangkah ke suku akhir Euro 2020, hari ini selepas pertarungan epik sebelum menang 5-3 ke atas Croatia pada masa tambahan.

Sepanyol dilihat mara ke suku akhir di Stadium Parken di Copenhagen menerusi jaringan Pablo Sarabia, Cesar Azpilicueta dan Ferran Torres yang meletakkan anak buah Luis Enrique mendahului 3-1 ketika perlawanan berbaki 13 minit.

Bagaimanapun, pemain gantian Croatia, Mislav Orsic merapatkan kedudukan pada minit ke-85 sebelum membuat hantaran lintang yang ditanduk masuk Mario Pasalic pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 3-3 dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sepanyol kemudian mendahului menerusi rembatan penyerang yang dikritik teruk, Alvaro Morata pada minit ke-100 sebelum Mikel Oyarzabal mengesahkan kemenangan 5-3 buat anak buah Luis Enrique.

Sepanyol gagal menang di pusingan kedua kejohanan utama sejak menewaskan Itali di final Euro 2012 dan mara ke suku akhir untuk bertemu pemenang perlawanan antara Perancis dan Switzerland, Jumaat ini di Saint Petersburg.

Sepanyol sepatutnya berada di depan pada minit ke-16 apabila Koke menerima umpanan Pedri pass, but tetapi rembatan pemain Atletico Madrid itu tepat ke arah penjaga gol lawan.

Kemudian Morata yang terus mendapat kepercayaan Luis Enrique sekalipun bermain buruk di peringkat kumpulan sehingga dia dan keluarganya dikecam penyokong sendiri, menyaksikan tandukannya disekat Domagoj Vida.

Bagaimanapun, malang menimpa Sepanyol apabila Pedri menjaringkan gol sendiri selepas tolakannya ke belakang gagal ditahan penjaga gol, Unai Simon.

Sepanyol menyamakan kedudukan tujuh minit sebelum rehat menerusi Sarabia dan Azpilicueta menambah jaringan pada minit ke-57 menjadikan kedudukan 2-1.

Keputusan perlawanan 5-3 itu adalah jumlah jaringan terbanyak di Kejuaraan Eropah sejak edisi sulung pada 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 2:49 AM