Nurul Husna Mahmud


Sejak berpindah ke kediaman sendiri iaitu kawasan kejiranan strata jenis lot banglo, Muhammad Rizal Abdul Rahman, 32, berasa puas dapat menyumbang tenaga dan usaha bagi meningkatkan nilai estetika landskap lamannya.

Pada mulanya, pempengaruh Tik Tok dan juga peminat tegar aktiviti pertanian itu, mendapatkan khidmat profesional untuk menata hias landskap laman kediamannya itu.

Namun minat yang mendalam terhadap kegiatan menanam, mendorongnya untuk menaik taraf landskap sedia ada dengan menempatkan pelbagai variasi pokok bunga ros sebagai penyeri.

Menariknya mengenai graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini adalah memiliki lebih 30 pelbagai koleksi pokok bunga ros dari jenis hibrid dan spesies tanah tinggi.

"Jika ikutkan konsep atau kecenderungan minat saya dan isteri, kami sukakan pemandangan yang linear atau seragam.

"Itu juga antara faktor kami pertimbangkan ketika memilih kediaman di kawasan perumahan strata yang mana mempunyai standard tertentu dalam menghias kediaman masing-masing.

"Landskapnya sedap mata memandang dan kawasan rumah saya menampilkan konsep gaya Inggeris dengan penataan kawasan bangunan bertemakan putih dan hijau pula untuk laman.

"Itu juga idea kepada landskap awalnya membabitkan rumput dan pokok hiasan di dalam pasu putih.

"Nampak seragam dan apabila saya memulakan projek menambah baik atau memperbanyakkan tanaman di sekitar laman, saya kekal menggunakan pasu atau kotak tanaman berwarna putih," katanya.

Tidak hanya itu, besi gerbang untuk tempat pokok bunga ros jenis menjalar memanjat juga turut berwarna putih.

"Idea ini adalah kombinasi antara kesukaan saya dan isteri selain pengalaman 'diceduk' dari destinasi pernah kami sampai di luar negara.

"Maklumlah kalau sudah peminat pokok, saya akan pastikan melawat taman atau landskap luar negara bagi dapat sedikit idea untuk dibawa pulang.

"Selain itu saya juga gemar bereksperimen dengan inovasi atau teknologi dikongsi peminat landskap luar negara mengenai cara mereka menghias laman menerusi Youtube atau TikTok.

"Terbaru teknologi fertigasi antara yang saya cuba amalkan untuk sistem terbaharu dalam membantu mengurus dan menyelenggara laman dan tanaman," katanya.

MUHAMMAD Rizal membelek bunga ros kegemarannya.  - FOTO Saddiq Sani
MUHAMMAD Rizal membelek bunga ros kegemarannya. - FOTO Saddiq Sani

DARK Night antara variasi bunga merah unik.  - FOTO Saddiq Sani
DARK Night antara variasi bunga merah unik. - FOTO Saddiq Sani

KOLEKSI bunga ros tanah tinggi.  - FOTO Saddiq Sani
KOLEKSI bunga ros tanah tinggi. - FOTO Saddiq Sani

Sistem ini sangat membantu terutama memudahkan Muhammad Rizal menyiram dan membaja apabila dia terpaksa meninggalkan rumah atas urusan pekerjaan atau berada di luar kawasan.

"Setakat ini untuk uruskan pokok terutama bunga ros masih terkawal kerana saya sudah tahu formula manual untuk urus pokok termasuklah menghasilkan bunga yang bergembang serentak.

"Pokok ros sebenarnya tidak memerlukan siraman berlebihan dan akar sebaiknya tidak terendam dalam air.

"Cukup sekadar siraman basahkan medium dan pokok dengan penggunaan baja yang betul boleh membantu ia sihat sampai berbunga," katanya.

Kata Muhammad Rizal lagi, pokok bunga ros dari spesies berwarna merah antara kegemarannya iaitu Red baccara, Dark knight dan bunga ros Jepun merah.

"Impian untuk mengumpulkan ID ros berwarna merah dalam laman saya agak mencabar kerana kos jauh lebih tinggi berbanding membelinya dalam jumlah pukal dan dipilih secara rawak.

"Dalam laman saya tiada pokok bunga lain selain bunga ros, jadi ia masih memberi pemandangan yang menarik pada mata saya," katanya.

Satu lagi menarik dalam koleksi tanaman yang berada dalam laman Muhammad Rizal ialah pokok oren Hallabong.

"Salah satu hasil eksperimen yang boleh saya katakan berjaya ialah pokok oren Hallabong yang saya bawa khas dari Pulau Jeju, Korea Selatan.

"Bayangkan pokok oren ini hanya boleh hidup dekat Pulau Jeju kerana tanah pulau pelancongan itu subur akibat tanah gunung berapi.

"Bagi saya ia satu pencapaian apabila pokok ini saya tanam dalam pasu dengan campuran tanah bakar dan sedikit sahaja tanah asalnya boleh hidup sama sekarang.

"Sebelum ini pokok ini seperti 'hidup segan mati tidak mahu' sahaja ketika saya gunakan tanah gambut atau campuran tanah pertanian biasa," katanya.

Laman landskap kediamannya yang lebarnya sekitar 15 kaki (4.6 meter) hingga 20 kaki (6.1 meter) dan panjangnya 70 kaki (21.3 meter) juga dilitupi rumput tiruan kualiti atau gred diguna pakai Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 7:01 AM
TAMAN Inggeris konsep hijau dan putih. - FOTO Saddiq Sani
TAMAN Inggeris konsep hijau dan putih. - FOTO Saddiq Sani