NABIL Aqil, Alya Iman enggan rosak persahabatan, anggap tindakan ‘pasang perangkap’ di set tidak profesional.
NABIL Aqil, Alya Iman enggan rosak persahabatan, anggap tindakan ‘pasang perangkap’ di set tidak profesional.
Najiy Jefri


CINTA lokasi bukan satu perkara asing dalam industri hiburan tanah air.

Jika dilihat ramai selebriti tanah air yang menyulam bahagia ketika menjalani penggambaran filem atau drama.

Bagaimanapun, bagi tunjung utama drama bersiri Anggun Mikayla, Alya Iman dan Nabil Aqil, kedua-duanya enggan terjebak dengan cinta lokasi kerana tidak mahu merosakkan persahabatan yang sudah terjalin sejak 2021.

Kata Nabil, dia percaya kerjasama dengan Alya tidak akan terhenti dengan dua drama sahaja selepas ini dan sebagai rakan dia tidak terfikir untuk menambat hati wanita jelita itu.

"Sebenarnya kalau kita sudah temui seseorang yang sesuai dan masing-masing saling mencintai saya rasa tidak salah. Tapi dengan Alya saya rasa agak mustahil untuk kami jatuh cinta sebab kami lebih selesa untuk kekalkan hubungan persahabatan yang sudah terjalin sejak tiga tahun lalu.

"Saya tidak mahu merosakkan persahabatan ini sebab saya yakin kerjasama ini tidak akan terhenti setakat ini saja, pasti ada tawaran lain untuk kami bekerjasama lagi.

"Kalau saya buat hal dengan kawan sendiri, ia akan merumitkan lagi perhubungan itu dan menerbitkan perasaan yang tidak seronok," katanya.

Bagi Alya pula, dia melihat cinta lokasi sebagai satu perkara yang tidak profesional sekiranya seseorang pelakon itu sudah memasang keinginan dari awal untuk mendapatkan seseorang yang diminati di set penggambaran.

"Ia sangat tidak profesional kalau anda mempunyai niat yang salah dari awal untuk cuba mendapatkan seseorang yang anda suka. Pada saya, itu bukan pelakon yang baik.

"Tapi kalau takdirnya berjumpa jodoh di set dan betul-betul nak berkahwin, saya okey saja. Cuma kalau sekadar nak mendapatkan seseorang dengan niat yang salah, saya tidak setuju.

"Saya anggap dunia lakonan ini adalah satu kerjaya dan saya enggan mensia-siakan peluang ini. Lagipun tidak mungkin saya akan jatuh cinta dengan Nabil kerana saya sudah mempunyai teman lelaki," katanya.

Teruja menantikan maklum balas penonton terhadap drama Anggun Mikayla yang kini sudah menemui penonton di platform penstriman Viu sejak 25 April lau, Nabil berkata, dia seronok bekerjasama dengan Alya dan mereka mudah mencipta keserasian.

"Sebenarnya ini bukan kali pertama kami bekerjasama. Sebelum ini kami pernah terbabit dalam sebuah drama bersiri pada 2021, tapi waktu itu saya tidak memegang watak utama.

"Pengalaman kali kedua bekerjasama dengan Alya memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi dapat bekerja dengan kawan sendiri yang kita tahu dia seorang yang 'gila-gila' dan berfikiran terbuka.

"Alhamdulillah sesi penggambaran berjalan dengan lancar dan sangat mudah. Kami pun sudah tahu apa yang perlu dibuat ketika di set penggambaran tanpa perlu mengambil waktu yang lama untuk latihan,"katanya.

Ditanya mengenai barisan pelakon pembantu yang cukup pengalaman dan berkaliber seperti Emelda Rosemila, Zaidi Omar, Lisdawati dan Haeriyanto Hassan, Alya berkata, dia sangat bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon senior yang hebat.

Bagaimanapun sebagai pendatang baharu, Alya mengaku perlu mengambil peluang yang anda untuk menimba ilmu bagi memastikan lakonannya memberi impak yang positif.

"Saya sangat teruja dan seronok apabila dapat berkongsi satu set drama dengan pelakon yang hebat.

"Saya ambil peluang ini untuk belajar dan berjumpa dengan pelakon hebat seperti Lisdawati dan Zaidi untuk ambil ilmu baharu dan bertanya banyak hal mengenai lakonan.

"Walaupun pelakon pembantu drama ini semuanya hebat, tapi saya tidak takut atau gentar sebab kita memang tahu yang lakonan mereka tiada siapa dapat tandingi.

"Cuma saya gementar kerana drama ini adalah projek pertama saya bersama Viu. Namun pengalaman bekerja dengan pengarah, Eyra Rahman yang sudah memasuki empat drama memberi sedikit kelegaan apabila dia banyak membantu saya memberikan hasil yang terbaik,"katanya.

Anggun Mikayla adalah adaptasi novel karya Liza Nur. Drama terbitan Global Station itu menampilkan jalan cerita yang cukup menarik dan penuh 'plot twist' sepanjang 13 episod bersiaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:01 AM