MORATA bermain dengan anaknya ketika sesi latihan Sepanyol. FOTO AFP
MORATA bermain dengan anaknya ketika sesi latihan Sepanyol. FOTO AFP
Agensi

Copenhagen: Pengendali Sepanyol Luis Enrique menganggap penghinaan ke atas Alvaro Morata adalah jenayah yang perlu disiasat polis.

Morata menjadi tumpuan negatif penyokong sejak diejek ketika aksi persahabatan pra Euro 2020 menentang Portugal akibat terlepas beberapa peluang terbaik dalam perlawanan itu.

Dia kemudiannya teruk dikritik susulan prestasi hambar ketika Sepanyol seri 0-0 dengan Sweden dalam aksi pertama Kumpulan E dan seri 1-1 menentang Poland yang menyaksikan dia menjaringkan gol tetapi terlepas deretan peluang menambah jaringan.

Penyerang Juventus itu yang tempoh pinjamannya di Atletico Madrid dilanjutkan semusim lagi gagal menjaringkan penalti ketika membelasah Slovakia 5-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Morata mendedahkan dia menerima mesej berbaur penghinaan di media sosial manakala keluarganya menjadi sasaran kemarahan di tempat awam.

Luis Enrique berulang kali mempertahankan prestasi Morata dan menjangkakan pemain berusia 28 tahun itu akan kembali menggegar Croatia pada aksi kalah mati.

Bercakap di sidang media, dia berkata: "Situasi itu sangat serius dan perlu ditangani polis kerana ia jenayah yang berat.

"Menghina keluarga Morata adalah jenayah dan saya harap ia dapat disekat.''

Sepanyol berharap dapat menamatkan badi tersingkir di peringkat kalah mati kejohanan utama apabila menentang Croatia tengah malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 12:03 PM